PMX : BUKU

PMX : Buku

PMX, Tun Dr Mahathir dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah 3 sosok pemimpin yang ada 1 persamaan ketara iaitu mereka suka membaca dan menulis.

PMX dan TGHH adalah 2 pemimpin yang aktif pada awalnya dengan gerakan ABIM. Sehingga hari ni, kebanyakan pimpinan ABIM dikenali sebagai sosok intelektual yang punyai keghairahan luar biasa terhadap buku dan wacana ilmu.

Tun Dr Mahathir ada 3 buah buku yang terkenal hasil tulisan beliau iaitu Dilema Melayu, A Doctor in The House dan Capturing Hope.


Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang pula paling prolifik di antara ketiganya di dalam menulis.

Buku ikonik beliau seperti Muqaddimah Aqidah Muslimin, Fiqh al-Harakah Dari Sirah al-Nabawiyah, Fiqh Siyasah Khulafa ar-Rasyidin, puluhan buku tafsir dan juga buku yang menjawab gagasan Islam Hadhari,slogan di Zaman Pak Lah Badawi menjadi PM dulu iaitu Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari.

Ambo pernah menulis satu tulisan mengenai sebuah buku yang agak langka ditulis tentang Tok Guru di pautan ini dulu.


Tulisan ambo ini bagaimanapun hanya ingin menyebut beberapa buku yang ada di dalam koleksi bacaan ambo berkenaan PMX khusus meraikan wacana ilmu yang terkandung di dalam gagasan Madani PMX

1- Tulisan PMX


A- Gelombang Kebangkitan Asia.(1997)

Jika anda seperti Chairul Tanjung yang terkagum-kagum dengan ucapan PMX di Indonesia tempoh hari, maka ketahuilah bahawa puluhan tahun lepas iaitu pada tahun 1997,PMX telah menulis buku ini.

Buku ini sarat dengan perbahasan ilmiah tenang dasar dan hala tuju negara bangsa mengikut fahaman PMX.

Ratusan tokoh dan pandangan mereka disebut. Puluhan judul karya besar dunia dinyatakan. Peradaban timur dan barat, falsafah, sastera dan pelbagai disiplin ilmu lain diadun dengan baik dan kemudiannya diluruskan beliau dengan dasar dan inti Agama Islam bagi memaknai niat beliau.

Di dalam buku ini ada 9 topik penting yang disentuh.

Nahdah Asia,Timur dan Barat, demokrasi dan masyarakat madani, keadilan dan undang-undang, akhlak dan ekonomi, ekonomi yang manusiawi, keunggulan budaya, Islam di Asia Tenggara dan Asia di masa depan.

Memang telah ada 1 bab khas tentang masyarakat Madani.

Sukar untuk mendapatkan buku ini di pasaran sekarang. Sepatutnya buku ini diterbitkan semula untuk rujukan generasi baru.

B- Warkah Anwar-Surat-surat dari penjara 1998-2004.

Buku ini khabarnya adalah hasil surat-surat PMX yang berjaya di seludup keluar dari penjara secara sulit.

Namun sejauh mana tulisan ini benar-benar daripada PMX masih diperdebatkan oleh kelompok pembaca.

Ia diterbitkan oleh Zunar, orang yang sama yang sedang menyiapkan filem Anwar sekarang ini.

Di dalam buku ini PMX menulis tentang apa yang selalu beliau lakukan di dalam penjara,tentang mahkamah, tentang politik dan 1 bab khusus mengenai gemulah Ustaz Fadzil Noor.

"Dialah sahabat, dialah Guru."

C-Madani

Buku Madani ini dilancarkan oleh PMX dalam ribut PRU15 yang lalu.

Cara akronim Madani ini dinyatakan bagaimanapun sangat kelakar dan menjadi meme buat semua. Ianya di pojok-pojok, diketawakan dan dipandang enteng.

" Aaah, satu lagi slogan PM"

" Siapa itu Madani? Hakim? Majistret? Ahli Muzik? Tik Toker? Orang ketiga selepas Ira? "

Namun disebalik riuh rendah sinikal itu, ia sebenarnya rahmat buat Madani. Kerna hampir semua orang tanpa paksa menyebut tentang Madani.

Ia sebenarnya satu gagasan yang telah lama di war-warkan oleh beliau.

Kalau tidak salah ambo, PMX menyebut tentang Madani ini paling awal pada 26 September 1995 ketika beliau menjawat jawatan TPM di dalam satu syarahan di Festival Istiqlal, Jakarta.

Ucapan atau kertas kerja beliau itu bertajuk " Islam dan masyarakat Madani."

ABIM melalui gemulah Dr Siddiq Fadzil selepas itu turut sama membangkitkan wacana tentang Madani ini.

Prof Dato Dr Osman Bakar juga pernah menulis di dalam Jurnal Usuluddin dengan 1 tulisan bertajuk Agama dan Budaya Teras Masyarakat Madani pada tahun 1997

Link kertas kerja itu di sini


Bayangkan kewujudan Madani ini puluhan tahun lepas lagi. Ia tidak pernah mati.

Ia mekar bersama PMX di sebalik jeriji besi. Ia ranum melalui setiap derita yang dilalui PMX. Ia matang dan dewasa bersama PMX dengan panahan komentar ratusan intelektual dunia.

Kini Madani ini bukan lagi sebuah istilah dan kata nama. Ia sebuah kata kerja. Ia perlu dizahirkan melalui tindakan.

Buku ini mengenalkan kita dengan Madani yang kurang lebih berumur 30 tahun.

Apa maknanya. Apa rangkanya. Bagaimana Madani mengisi lompong besar permasalahan negara. Bagaimana Madani bisa menenangkan segala kekacauan dan kerumitan yang timbul Pasca Covid-19.

Membaca buku Madani ini sedikit melelahkan kerana pengamatan teliti PMX terhadap pengurusan kerajaan dan tabiat PMX yang suka mengadun semua benda melalui seni bahasanya yang tersendiri.

2 - Tulisan penulis lain tentang PMX

A) Anwar Ibrahim - Evolution of a Muslim democrat oleh Charles Aller (2014)

Penulis buku ini kali pertama bertemu dengan DSAI pada pertengahan tahun 70 an. Di dalam buku ini beliau menulis agak terperinci sejarah DSAI sedari awal.

Bagaimana seorang sosok manusia yang tidak belajar islam secara formal terjun ke dalam gerakan Islam dan kemudiannya bertutur dengan penuh lancar memetik petikan daripada Quran, hadis dan kata-kata tokoh ulama melalui karya-karya ulung di dalam Islam seakan-akan beliau sejak awal diasuh di sekolah agama.

Penulis juga sempat menulis meraikan perlantikan PMX di pautan ini.


Tulisan ringkas ini mungkin memberi kita sedikit bayangan bagaimana sedapnya beliau menulis sejarah DSAI di dalam buku itu.

B) Anwar Ibrahim - Dari Cherok To'Kun ke Kuala Kangsar oleh Amin Ahmad (2021)

Buku ini yang ambo beli di kedai buku Balai Ilham secara maya tertera di mukasurat pertamanya tandatangan daripada penulis sendiri.

Boleh jenguk Facebook mereka



Atau shopee


Istimewanya buku ini adalah ianya buku pertama daripada beberapa siri yang dijanjikan penulis.

Penulis yang juga merupakan bekas ahli parlimen menulis dengan terperinci sejarah PMX sejak awal.

Ia bermula dari kisah kedua mak ayah PMX dan latar politik yang ada ketika PMX membesar di zaman itu

Kedua mak ayah PMX merupakan ahli politik UMNO yang sangat aktif.

Buku ini juga menceritakan bagaimana keadaan PMX sewaktu di MCKK.

Keghairahan beliau tentang buku dan bagaimana berputiknya semangat aktivisme dan naluri kepimpinan beliau melalui penyertaan beliau di dalam beberapa persatuan di sekolah ketika itu.

Pada saat ini bakat kepimpinan dan kepetahan berucap PMX sedikit demi sedikit mulai lahir dan terzahir dengan ketara.

Kita masih menunggu bila buku kedua akan terbit.

C) Semangat Darah Muda yang disusun oleh Zahiruddin Hashim terbitan ABIM pada tahun 2019

Buku ini adalah koleksi tulisan ramai penulis mengenai sosok Anwar Ibrahim. Bagaimana sosok ini mempengaruhi mereka terutamanya di dalam kegiatan aktivisme dan politik.

Di antara mereka yang menulis adalah seperti Jufitri Joha, Mohamad Faisal Abdul Aziz, Zairudin Hashim, Yong Cher Kiat dan lain-lain.

3- Buku mengenai kes undang-undang

A) Anwar on trial, in the face of injustice oleh Pawancheek Merican

Buku ini merakam peristiwa kes yang dilalui oleh PMX pada peringkat awal.

Agak terperinci bagaimana penulis yang juga merupakan seorang peguam senior menghujahkan pertuduhan yang dilalui DSAI ketika itu.

Apa drama yang berlaku di mahkamah dan apa sebenarnya peristiwa yang berlaku di sebalik tabir.

Buku ini sebenarnya banyak menjawab tuduhan mengenai kes yang dilalui oleh DSAI.

Ketika perbicaraan berlangsung di zaman itu, kita hanya beroleh maklumat melalui media utama. Buku ini memberi kita perspektif alternatif.

Buku ini juga memberi kita peluang menikmati hujahan yang disampaikan oleh peguam terkemuka negara di dalam kes ini seperti Raja Aziz Addruse, Christopher Fernando, Gurbachan Singh dan Sulaiman Abdullah.

B) The Trial of Anwar Ibrahim-Sodomy II

(2012) oleh Mark Trowell

Mark Trowell ialah seorang peguam jenayah yang berasal dari Australia.

Beliau yang menghadiri secara langsung perbicaraan kes liwat membawa kita memahami bagaimana kes ini dijalankan.

Banyak perkara yang di singgung oleh beliau di sepanjang perbicaraan sehingga kepada keputusan akhir yang melepaskan DSAI drpd tuduhan liwat.

Buku ini boleh menjawab isu tuduhan liwat terhadap DSAI. Sebuah bacaan yang menarik walaupun agak melelahkan.

Biasalah, kalau peguam menulis, pastinya mereka akan menyukarkan kita untuk memahami setiap ayat walaupun sebenarnya maknanya senang sahaja.

Namun ia sebuah cabaran bacaan yang mengujakan.

Membaca buku ini meluaskan lagi pemahaman kita terhadap tuduhan kes terhadap DSAI terutamanya tuduhan liwat.

C) Anwar Returns, The Final Twist oleh Mark Trowell (2018)

Buku ini dimulakan pada bab awalnya dengan cerita bagaimana DSAI ketika itu berjumpa dengan YDPA iaitu Sultan Muhammad V dan bagaimana ke bawah Duli Tuanku menyebut bahawa pertuduhan terhadap DSAI adalah "miscariagge of justice. "

Cerita ini yang disebut oleh PMX ketika beliau berhujah di Parlimen menyebut mengenai pengampunan diraja beliau.

Penulis di dalam buku ini menyorot kembali kes DSAI sedari awal dan bagaimana akhirnya beliau mendapat pengampunan diraja.

Sangat menarik untuk dibaca bagaimana dunia perundangan bergerak dilatari peristiwa politik.

4 - Buku oleh penulis politik


Ambo cuma ada 2 buku tulisan penulis politik tentang PMX. Penulis itu ialah

S. H. ALAttas atau lebih dikenali sebagai Pak Habib, yang pernah ambo temui di rumah beliau di Janda Baik, Pahang.

A) Mahathir Konspirasi, Anwar Reformasi (1998)

Di dalam buku ini Pak Habib dengan gaya beliau tersendiri membawa kita mengikuti dengan agak dekat peristiwa yang berlaku ketika DSAI ketika dipecat.

Banyak isu yang berlaku ketika itu diceritakan oleh Pak Habib.

Cara Pak Habib menulis secara santai dengan pelbagai gambar dan keratan akhbar memudahkan kita untuk membaca.

Bab pertama itu tajuknya melucukan.

"Konspirasi reformasi kopikasi wang kasi tak ada saksi."

Di dalam buku ini juga Pak Habib menulis tentang Zahid Hamidi dengan tajuk "Kiai Zahid merempuh Empayar Maha."

Yang agak menarik juga bab kelima dengan tajuknya " Masalah ayam pun tak boleh selesai."

B) Wira, Juara atau Penderhaka (1999)

Di dalam buku ini Pak Habib meneruskan bicara beliau seputar pergerakan PMX.

Ia dimulakan dengan bab Keadilan dan PAS,tentang pergolakan saat bicara mahkamah dan pelbagai isu politik yang melingkari Malaysia ketika itu.

Pada akhir buku ini Pak Habib menulis dengan jelas bahawa DSAI sudah perlu ditalqinkan di dalam politik dan Keadilan adalah parti tiada masa depan.

Gaya penulisan Pak Habib sangat menarik dan ada magisnya yang tidak ada pada penulis politik yang lain.

Kesimpulan -

Apakah tulisan ini diniatkan untuk mengangkat PMX?

Tidak.

Apakah tulisan ini ditulis supaya kelompok pembaca menyokong serta mendokong PMX?

Tidak.

Baik PMX, Tun Dr Mahathir dan TGHH, ketiga mereka adalah tokoh besar politik tanah air.

Setiap mereka punyai kelebihan yang perlu kita teladani dan punyai keburukan yang boleh kita jadikan iktibar.

Manusia tidak ada yang sempurna. Semuanya ada salah dan silap.

Setiap individu pasti ada kelompok yang menyukai dan pasti ada kelompok yang membencinya. Begitu jugalah bagi pemimpin.

Secara peribadi, ambo pun masih belum ada kesempatan bertemu mata dan bersua muka dengan PMX.

Ambo beruntung kerana punyai guru yang selalu memberi pesan-pesan yang baik terutamanya di dalam bab kepimpinan.

Kami diajar bahawa pimpinan itu juga manusia yang tidak sunyi drpd melakukan kesilapan.

Kami juga diajar bagaimana kita sebagai pengikut untuk berinteraksi dengan arahan daripada pemimpin atau bagaimana untuk memberi reaksi terhadap kesilapan pimpinan.

Ia lewat perbincangan terhadap sebuku tajuk kecil bertajuk Tahrir Al Wala yang merupakan subtopik di dalam buku tulisan Sheikh Said Hawa yang berjudul Jundullah Thaqafatan wa Aqhlakan.

Buku kecil ini diterbitkan oleh penerbitan Hizbi pada tahun 1985. Penulis yang bernama Ramli Awang drpd Manir Terengganu memberikan erti kepada Tahrir al Wala sebagai Pembebasan al Wala.

Carilah buku ini dan bincanglah intinya.

Mengkritik tidak bererti menentang

Memuji tidak semestinya menyokong

Menegur tidak bermakna membenci

Dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Moga-moga ada manfaatnya tulisan ini.

Ambo alu-alukan sebarang kritikan dan penambahbaikkan. Dan segala kesilapan yang ada, ambo terlebih dahulu memohon ampun dan maaf.

Pada akhirnya tulisan ini hanyalah ikhtiar kita untuk menyahut seruan tuhan terhadap insan melalui perintahNya yang pertama kepada baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam

IQRA!

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

Comments

Popular Posts