Ceritaku

Berada di kampung, dikelilingi kedamaian, pepohon hijau rendang yang melambai-lambai ditiup angin,air laut yang membiru sejauh mata memandang,pasir pantainya yang memutih dan terkadang berkelip disinar terik cahaya mentari, mengembalikan aku kepada nostalgia diriku yang dahulu.

Betapa indahya waktu kanak-kanak itu.Hidup penuh hilai tawa dan kasih sayang dari bonda serta ayahanda.

Kali ini,setelah berkelana panjang,melalui sepak terajang kehidupan,takdir membawaku kembali ke tempat asalku.

Setelah bersara,aku mengira bahawa perjuanganku telah berakhir dan aku mampu berehat lega.Namun itu semuanya tidak berlaku.Aku kini memasuki gerbang perjuangan seterusnya.Terasa betul lelahnya mungkin kerna usia yang semakin menua.Barangkali betul juga kata Mutanabbi

تَجْري الرّيَاحُ بمَا لَا تَشْتَهي السُّفُنُ”

Angin itu bertiup bukan mengikut arahan kapten kapal.

Merenung keindahan pantai di Marang ini, mengingatkan aku kepada sebuah petikan kata dari khalifah Umar Abdul Aziz rdhu.

“رَحِمَ اللهُ اِمْرَأً عَرَفَ قَدْرَ نَفْسِهِ فَوَقَفَ عِنْدَه"
Tuhan akan memberkati mereka yang mengetahui kadar kemampuan mereka dan meraikan kekurangan itu.

Ungkapan ringkas ini, memberikan aku panduan untuk menghormati segala kekurangan diriku dan sentiasa bersikap merendah diri. Ia juga mengajarku supaya tidak berlebih di dalam menyakini diriku sendiri atau berlebih di dalam memandang rendah kepada diriku.

Ya,betul,aku semakin tua.

Sendiku semakin lemah.Badanku sudah memberi maklum bahawa aku bukanlah sekuat dulu.

Namun aku juga memahami pesan Rumi

يَقُوْلُ أَحَدُهُمْ أَنَّ شُعْلَتَكَ عَلَى وَشْكِ الاِنْطِفَاء، 

'لَكِنَّكَ لَسْتَ دُخَانًا أَوْ نارًا. أَنْتَ بِلَا شَكٍّ أَكْثَر حَيَاة” 

Mereka berkata bahawa engkau semakin hilang cahaya kekuatanmu,namun engkau bukanlah asap atau api bahkan engkau masih tetap hidup.

Jika dahulu aku mengajar para muridku yang ada pelbagai ragam di dalam kelas,sekarang tuhan menemukan aku dengan murid-murid baru.

Murid-murid baruku ini tiada di dalam kelas,namun mereka ada di dalam diriku sendiri,menghuni sekian lama disitu. Ia adalah pelbagai perasan tidak molep,ilham yang teruk dan pelbagai lagi perkara-perkara yang bersifat negatif.

Dahulu,hanya dengan rotan atau tempikan bak halilintar boleh aku gunakan untuk mendisipkan para muridku,sekarang aku perlu menggunakan teknik lain untuk menghadapi para murid baruku ini.

Mujur,dengan izin tuhan,aku dibukakan pintu kemudahan untuk berhadapan dengan ragam murid baruku ini.

Kisah yang ingin aku kongsikan ini bukanlah cerita derita yang menginginkan simpati atau kisah bosannya masa pasca persaraan.

Perkongsianku ini adalah ubatku.Ia adalah penawarku.

Pada saat aku mengubati diriku sendiri,moga ianya juga mampu menjadi penawar kepada mereka yang senasib denganku.



Comments

Popular Posts