Never Give In - Sir Alex Ferguson


Pada 27 Mei 2021 yang lepas, telah ditayangkan satu dokumentari baru berkenaan tokoh lagenda bolasepak moden, Sir Alex Ferguson, bertajuk Never Give In.

Yang menariknya, dokumentari ini diarahkan oleh anak beliau sendiri iaitu Jason Ferguson. 

Pada awalnya, ambo menyangka ia seperti dokumentari biasa yang lebih fokus kepada aspek bolasepak, namun sangkaan ambo nyata meleset sama sekali. 

Dokumentari ini adalah sebenarnya berkenaan seorang manusia yang cuba berjuang untuk hidup.

Oleh itu, berpandukan dokumentari ini dan dua buah buku biografi Sir Alex, ambo cuba menulis sedikit tentang beliau. 


Sir Alex Ferguson digelar pengurus paling berjaya di era moden, akan tetapi di dalam dokumentari ini, beliau mendedahkan betapa mahalnya mahar yang perlu beliau bayar untuk meraih kejayaan itu. 

Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. 

Dokumentari ini bermula dari detik beliau rebah dan terpaksa dimasukkan ke hospital kerana ada pendarahan di otak beliau pada 5 Mei 2018. 

Ketika itu, perkara yang paling beliau takut adalah jika beliau kehilangan ingatan beliau. 

Ingatan beliau, adalah aset utama. Tidak seperti pengurus lain yang senantiasa ada buku catatan, beliau ketika menjadi pengurus hanya berpandu kepada ingatan beliau. 

Tumpuan beliau 100% kepada perlawanan yang berlangsung. 

Beliau sempat meracau bercerita segala macam kisah lama kepada anak beliau untuk mengesahkan bahawa beliau masih punyai semua fakta itu. Semua kenangan itu. 

Alhamdulillah, beliau berjaya sembuh dengan baik dan diberi sambutan luarbiasa ketika kembali ke tempat duduk beliau di Old Trafford untuk menonton perlawanan di antara Manchester United menentang Wolves Pada 22 September 2018. 
Kemudian beliau mengisahkan sejarah beliau sendiri langsung dari kotak ingatan beliau yang masih baik berpandukan soalan daripada Jason dan terhasillah " Never Give In" ini. 

1- Aku budak Govan

Govan Adalah sebuah Daerah atau perkampungan di Glasgow, Scotland. 

Sir Alex cukup bangga mengimbau kenangan beliau lahir dan membesar di dalam sebuah keluarga sederhana di Govan. 

Govan, ketika itu dihuni oleh ramai keluarga yang terlibat di dalam industri pembuatan kapal besar termasuklah ayah beliau.

Ini menjadikan persekitaran beliau, dikelilingi oleh pekerja-pekerja berdedikasi, yang membanting tulang dengan penuh kudrat pada setiap hari bekerja. 

Ini membentuk karakter beliau yang rajin, gila kerja dan tidak berputus asa. 

Suasana pekerjaan di dalam komuniti ini juga membentuk pemahaman beliau tentang kerjasama berkumpulan. 

Teamwork bagi beliau adalah bagaimana sekumpulan manusia saling tolong menolong dan berkorban demi untuk mencapai sesuatu matlamat. 

2- Pertembungan identiti. 

Ketika itu ada 2 pertembungan identiti besar yang berlaku di tempat beliau. 

Protestant vs Catholic ( agama) 
Rangers vs Celtic ( bola) 

Bonda beliau adalah pengikut Catholic, sementara ayah beliau tidak mengikuti apa-apa secara komited. Akan tetapi beliau dan adik beradik beliau dibesarkan secara Protestant.

Isu ini tersangatlah sensitif ketika itu. 

Oleh kerana, rumah mereka tidak jauh dari stadium Ibrox, stadium bagi pasukan Rangers, beliau membesar menyokong Rangers sementara ayah beliau pula penyokong Celtic. 

Pertembungan Rangers melawan Celtic ketika itu selalunya menjadi seperti sebuah perang saudara. 

3- Putus asa menjadi pemain bola

Sir Alex mula bermain bola secara profesional dengan kelab Queens Park Rangers. 

Kemudian beliau berpindah ke kelah St Johnstone. 

Beliau mengalami masalah disini. 

Ketika itu beliau hanya menjadi pemain simpanan dan jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Beliau tertekan dan mula keluar malam dan minum bersama kawan-kawan. 

Ayah beliau begitu marah apabila mendapat tahu beliau masih keluar malam ketika esoknya ada perlawanan. 

Mereka bergaduh. 2 tahun beliau tidak bercakap dengan ayah beliau. 

Akhirnya beliau putus asa dan ingin berhenti bermain bola untuk berhijrah ke Kanada. 

Pada satu hari, beliau meminta kawan perempuan abang beliau menelefon jurulatih sebagai ibu beliau untuk mengatakan bahawa beliau sedang demam dan takkan datang ke perlawanan esoknya. 

Tembelang beliau pecah. Jurulatih mengirim telegram kepada ibu beliau menceritakan temberang beliau. 

Selepas dimarahi ibunya, beliau menelefon jurulatih dan diarahkan melapor diri serta merta. 

Esoknya, beliau diberitahu akan menjadi penyerang buat kelab menentang Rangers di Ibrox. 

Beliau hampir ke Kanada setelah putus asa bermain bola. 

Namun ketika diberi peluang bermain menentang kelab gergasi di stadium keramat mereka, beliau menjaringkan 3 gol. 

Ketika itu, tidak pernah ada lagi mana-mana pemain lawan mencipta hatriks menentang Rangers di Ibrox.

Bermulalah era beliau sebagai seorang pemain penyerang dan hubungan beliau  dengan ayahnya kembali pulih. 

Satu peluang.

Itu saja yang kita perlukan untuk mengubah kehidupan. Inilah ayat yang selalu diulang beliau. 

Bagi Sir Alex, inilah satu peluang yang mengubah hidup beliau. 

Dari St Johnstone beliau ke kelab Dunfermline, ke Rangers, turun ke kelab Falkirk dan berakhir di kelab Ayr United. 

4- Dibuang Rangers

Di perlawanan akhir Scottish Cup, ketika perlawanan Rangers menentang Celtic berakhir dengan kekalahan 4-0, beliau dijadikan kambing hitam dan dijual keluar oleh kelab. 

Ini cukup menghiris hati beliau. Luka ini teramat dalam dan sukar untuk sembuh. 

5. Dipecat

1974 - Beliau memulakan karier sebagai jurulatih di kelab East Stirlingshire pada umur 32 tahun. 


1974-1978 - Jurulatih/ pengurus di kelab St Mirren. Dari kelab yang bermain di divisyen dua, beliau membawa kelab bermain di liga utama. 


Namun corak pengurusan beliau yang berdasarkan pematuhan disiplin yang ketat dan corak permainan berpasukan menyebabkan beliau bertelagah dengan pelbagai pihak. 

Akhirnya beliau dipecat. 

Kali pertama dan terakhir beliau dipecat sepanjang karier beliau. 

6. Melatih Abedeen

Tak lama beliau menganggur, selepas dipecat, beliau terus disambar oleh kelab Aberdeen. Di dinilah, dunia mengenali Alex Ferguson. 
Ketika itu, Aberdeen hanyalah sebuah kelab biasa tanpa ada sebarang fasiliti khas mahupun stadium. 

Rangers dan Celtic masih mendominasi liga. 

Beliau melakukan perubahan pada paradigma pemain. Meyakinkan para pemain bahawa mereka boleh menjuarai liga. Bahawa mereka bukanlah pasukan belasahan. 

Rangers dan Celtic menjadi obsesi beliau.  "Jika mahu genggam kejuaraan, kita perlu kalahkan kedua kelab gergasi itu." 

Itulah mantera azimat yang selalu beliau ulang kepada pemain. 

Diikuti dengan disiplin yang ketat, corak menyerang dan cara beliau yang sangat berani serta ganas itu, Aberdeen Akhirnya berjaya menjuarai liga pada tahun 1980. 

Pada tahun 1984, selepas menjuarai piala liga dan piala Scottish, mereka memburu pula piala Eropah. 

Setelah mengalahkan Bayern Munich pada peringkat Separuh akhir, mereka mara ke peringkat akhir dan mengalahkan Real Madrid yang dibimbing Alfredo Di Stefano. 

Rangers dan Celtic masih dominan di Scotland sedangkan beliau telah mampu memecahkan dominasi dua kelab gergasi itu dan menabalkan juara baru di Scotland. 

Bahkan beliau telah berjaya menawan Eropah dengan menumpaskan dua gergasi Eropah iaitu Bayern Munich dan Real Madrid. 

7- Jock Stein dan Scotland

Jock Stein adalah di antara pengurus Scotland yang paling berjaya terutamanya dengan kelab Celtic. Ketika beliau dilantik menjadi jurulatih Scotland untuk Piala Dunia 1986 di Mexico, beliau melantik protégé beliau, Alex Ferguson sebagai Timbalan jurulatih. 

Akhir tahun 1985, Jock Stein mati secara mengejut dan Alex Ferguson dilantik mengemudi Scotland untuk baki kempen secara part time.
8- Manchester United 

Selepas Manchester United memecat Ron Atkinson, Alex Ferguson dilantik menjadi pengurus.

Man United kali terakhir memenangi liga pada tahun 1967. 

Ketika itu Man United dilatih oleh Sir Matt Busby dan ada 3 nama besar dalam pasukan iaitu Dennis Law, George Best dan Bobby Charlton. 



3 tahun pertama tanpa sebarang  tropi, beliau mengambil jalan panjang dengan membina pasukan melalui pemain muda. 

Ryan Giggs di antara pemain muda pertama yang beliau bawa masuk. 

9- Di antara kemenangan atau persaudaraan. 

Setelah 3 tahun tanpa piala, beliau telah menerima pelbagai ancaman daripada penyokong supaya dipecat. 

Ketika perlawanan akhir piala FA Cup, penjaga gol utama beliau yang beliau bawa masuk dari Aberdeen iaitu Jim Leighton melakukan kesilapan demi kesilapan. 

Beliau akhirnya menggantikan Jim dengan Les Sealey dan Sealey menjaga gol dengan baik yang memberi kemenangan kepada Man United. 

Piala FA ini memberi talian hayat kepada Alex Ferguson. Namun ia mengakhiri persaudaraan beliau dengan Jim Leighton. 

Banyak lagi pemain yang menjadi musuh beliau kerana beliau tidak pernah segan untuk membuat keputusan sukar demi pasukan. 

Bagi beliau, pasukan lebih besar daripada individu.

David Beckham di antara contoh klasik ketegasan beliau.

10- 1992 baru menang liga.

Sebelum sesi 92 bermula Man United membawa masuk Eric Cantona. Eric menjadi nadi mengemudi Man United mendapatkan piala liga buat kali pertama,6 tahun selepas Man United melantik Alex Ferguson. 
Kemudian ada kelas 92, projek pemain muda Alex Ferguson yang terdiri daripada Ryan Giggs, David Beckham, Gary Neville dan lain-lain yang menjadi nadi kecemerlangan Man United.

11- Beckham's Cross 1999 treble. 

Di antara lagu yang selalu berulang menjadi mimpi beliau ketika sakit adalah lagu berkenaan hantaran silang Beckham. 

Menjuarai piala liga juara-juara mengalahkan Bayern Munich di Camp Nou Rupanya menjadi klimaks kepada pencapaian beliau. 
Kenangan di kejohanan itu menjadi di antara teras ingatan beliau. 2 hantaran silang Beckham dari penjuru padang menghasilkan gol yang dijaringkan oleh Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer. 

Gol itu menobatkan Manchester United selaku juara liga juara juara dan pemenang 3 kejuaraan. 

12- Cathy Ferguson
Inilah kelebihan Sir Alex. Beliau mengakui secara jujur bahawa beliau bukanlah seorang suami dan ayah yang baik walaupun beliau digelar pengurus paling berjaya di dalam arena bolasepak. 

Cathy, yang menjadi isteri beliau sejak 1966 adalah nadi beliau. Cathy lah yang banyak berkorban dan bersabar menguruskan keluarga di saat seluruh masa beliau sibuk dengan kegiatan bolasepak. 
Dokumentari ini secara jujur menunjukkan bahawa manusia itu penuh dengan kelemahan.

Untuk berjaya, seseorang itu perlu ada suasana, teman lingkungan dan guru yang baik. 

Shaykh Hamza Yusuf di dalam pengenalan bukunya ' The prayer of the oppressed' yang merupakan terjemahan kepada karya ' Doa Nasiri' tulisan Imam Muhammad Nasir Al Dari menulis satu puisi daripada AL Mutanabbi. 

Manusia, walaupun berjauhan,
memerlukan di antara satu sama lain, 
tanpa sedar, 
Mereka saling membantu. 

Di dalam bahasa Sir Alex Ferguson, itu adalah TEAMWORK. 

Tiada sesiapa yang lebih besar daripada pasukan. 

Itulah bolasepak.

Apakah itu bolasepak?

Jawab Sir Alex Ferguson mudah. 

" Football BLOODY HELL" 

**  terima kasih kerna membaca tulisan yang agak panjang ini. 😁😁 Anda memang  penyabar. Kalau ada salah silap harap diperbetulkan deh.

Comments

Popular Posts