Tuesday with Morrie

Tuesdays with Morrie -
Kisah kuliah terakhir seorang guru yang sedang menderita kesakitan kepada seorang murid yang disayanginya.

Kali pertama melihat buku ini, tidak ada langsung daya tarikan padanya. Tajuknya pun aneh. Seperti biasa sebelum membeli buku ambo akan membuat sedikit penyelidikan terhadap buku dan penulisnya.

Rupanya ia satu kisah benar. Dan apa yang menarik ia kisah mengenai seorang guru dengan anak muridnya.

1. Siapa guru itu?

Guru tersebut bernama Professor Morris Schwartz.

Seorang professor sosiologi di Universiti Brandeis di Massachussets. Beliau menderita sakit yang dikenali sebagai ALS.

Morrie nama panggilan beliau, adalah seorang yang suka makan, suka menari dan suka bergaul dengan semua orang. 

2. Siapa muridnya?

Muridnya bernama Mitch Albom.

Seorang yang bercita-cita ingin menjadi seorang pemuzik namun akhirnya menjadi seorang wartawan sukan.

Mitch Albom ketika itu sangat terkenal kerana beliau adalah wartawan sukan yang paling banyak menerima anugerah kewartawanan.

Hidupnya sedang meniti kemasyhuran namun beliau terperangkap dalam huru hara mengejar tarikh akhir tulisan dan menunaikan semua urusan kerjayanya.

3. Latar kisah

Ketika nama beliau sedang meningkat naik, beliau terlihat Morrie di sebuah rancangan tv. Ketika itu Morrie ditemubual kerana beliau sudah disahkan menghadapi ALS dan ada waktu yang singkat sebelum ajal menjemputnya.

Morrie ketika itu sudah tidak boleh bergerak. Ditolak kemana-mana dengan kerusi roda. Mujurlah tangannya masih kuat dan suaranya masih jelas. 

Morrie menggunakan temubual itu untuk berbicara dengan khalayak tentang kematian.

" Jika kamu bersedia untuk mati, barulah kamu akan mengerti erti hidup."

Itulah slogan yang selalu diulang Morrie.

Mitch ketika itu sangat malu untuk berjumpa Morrie kerana sudah 16 tahun beliau tidak berjumpa dengannya. Beliau teringat kali terakhir bertemu Morrie adalah di majlis graduasi.

" Janji kamu akan terus sentiasa berhubung dengan saya ya?"

Lembut perkataan Morrie bertanya padanya ketika itu setelah mereka berpelukan dan beliau menjawab spontan.

" Ya. Ya. Sudah tentu saya akan sentiasa berhubung dengan Prof."

Akhirnya 16 tahun berlalu dan beliau langsung tidak pernah berhubung dengan Morrie.

Ketika mendengar Morrie akan mati, beliau terasa bersalah dan terus pergi berjumpa dengan Morrie.

Beliau beranggapan Morrie akan memarahi beliau atau berduka, namun beliau salah.

Sebaik Morrie melihat beliau, Morrie tersenyum dan terus membuka tangan beliau sebagai isyarat sambil berkata.

" Mitch, 16 tahun kamu tidak berjumpa saya dan hari ini kamu tidak ingin memeluk saya?"

Mitch lega dan hubungan mereka kembali mekar.

Ketika belajar dahulu, mereka selalu berjumpa pada setiap hari selasa. Ketika Mitch bertanya kepada Morrie bilakah lagi waktunya untuk beliau berjumpa Morrie, Morrie menjawab sambil tersenyum.

" Selasa Mitch. Datang pada Selasa. Kamu lupa? Kita kan orang Selasa?"

4. Pertemuan pada Selasa

Mereka sempat bertemu sebanyak 14 kali. Pada 14 kali hari selasa sebelum Morrie menghembuskan nafas terakhir beliau.

Mitch mengerti bahwa ini mungkin kuliah terakhir Morrie. Beliau sudah bersedia dengan tape recorder dan bertanya kepada beliau mengenai 14 perkara.

Dunia. Tentang diri sendiri. Penyesalan. Kematian. Keluarga. Emosi. Takut tua. Duit. Cinta. Perkahwinan. Budaya. Memaafkan. Hari yang sempurna dan perpisahan.

" Mitch, mati merupakan sesuatu yang menyedihkan, namun kamu tahu apa yang lebih teruk? Hidup dalam kesedihan!

Kenapa?

Kerana budaya kita sekarang menyebabkan kita semua sering berasa tidak selesa dengan diri kita sendiri. Kita banyak mengejar perkara yang salah. Dan kerana itu kita perlu tahu budaya mana yang harus kita tolak. Perlu ada keberanian untuk menolaknya. "

Morrie seperti biasa melontarkan ideanya di dalam pelbagai jenis soalan. Beliau lebih suka mendengar dan memahami orang lain. Kerana itu, beliau disukai ramai. 

" Mitch, pernah kamu dengar mengenai The Tension of Opposites?

Ya. Itulah hidup. Kamu selalu ingin membuat satu perkara, namun kamu akhirnya melakukan perkara lain. Sesuatu melukakan kamu tapi kamu tahu sepatutnya kamu tidak harus lama dalam luka itu."

" Fuuh. Macam perlawanan gusti ya? Jadi siapa yang akan menang? " Balas Mitch. 

Morrie tersenyum.

" Cinta Mitch. Akhirnya yang selalu memang adalah cinta dan kasih sayang. "

Dalam satu pertemuan Morrie berkata dengan jelas.

" Hari ini ramai orang berjalan melalui satu kehidupan yang tiada erti.

Mereka kelihatan seperti separuh tidur walaupun ketika mereka sedang sibuk membuat kerja yang sangat penting dalam hidup mereka. Ini kerana mereka mengejar perkara yang salah.

Satu satunya perkara yang membuatkan hidup kita ini lebih bermakna adalah apabila kita menyayangi orang lain terutamanya di sekitar hidup kita.

Berbakti kepada orang lain adalah kunci untuk mendapatkan hidup yang lebih bermakna. "

Ini menyebabkan Mitch lama berfikir dan terus meninggalkan segala kesibukan beliau untuk bersama Morrie.

" Perkara paling penting dalam hidup ini Mitch, adalah untuk belajar bagaimana memberi cinta dan belajar bagaimana untuk menerimanya. Kerna dalam hidup ini, satu satunya perbuatan yang rasional adalah mengenai cinta."

Sejak dari awal mengenali dan belajar dengan Morrie, itulah perkara yang selalu diulangi oleh beliau. Tentang cinta dan kasih sayang. Tentang bagaimana untuk menghargai dan berbakti kepada orang lain.

" Prof? Tak rasa sedih ke? " soal Mitch kepada Morrie dalam satu pertemuan.

" Sedih? Selalu. Bahkan kamu akan melihat saya penuh dengan air mata. Setiap pagi saya selalu menangis.

Saya selalu bertanya tuhan kenapa saya diuji begini. Namun tidak lama saya disitu.

Setelah membiarkan diri saya menikmati rasa sedih itu barulah saya akan mengasingkan perasaan itu daripada diri saya dan kembali menikmati hidup.

Saya perlu fokus kepada perkara positif di sekeliling kehidupan saya.

Membiarkan diri kita menikmati kesedihan akan membuatkan kita mudah mengasingkan rasa sedih itu. Jangan dibina dinding. Perasaan itu hadir bersebab. Rasailah ia. Nikmatilah ia. Dan kemudian hilangkan ia.

Percayalah, ia tidak akan menyakitkan kamu bahkan ia akan menguatkan kamu. "

Pernah pada satu ketika di dewan kuliah, Morrie menyuruh kami supaya berada dalam keadaan berdua dan memalingkan belakang kami. Kemudian kami disuruh memejam mata dan merebahkan badan ke belakang.

Semua murid tak berani melakukannya kecuali satu pasangan.

Dalam keadaan menutup mata, budak itu merebahkan badan. Rakannya yang juga dalam keadaan terpejam mata ajaibnya dapat merasai sesuatu berlaku dan terus berpaling dan menyambut rakan itu daripada jatuh ke lantai.

Seluruh dewan kuliah bertepuk tangan.

" Nampak tak? Terkadang kita takkan percaya apa yang kita tak nampak. Namun kamu harus percaya apa yang kamu yakin. Apa yang kamu rasai. Begitu juga kepercayaan. Jika kamu inginkan orang lain untuk percaya pada kamu, kamu terlebih dahulu perlu mempercayai orang lain, walaupun kamu sedang jatuh macam apa yang berlaku tadi. "

Dalam pertemuan berikutnya Morrie berpesan.

" Budaya kita tidak membantu kita untuk menghargai kematian. Kita jarang bercakap mengenainya kerana kita terlalu sibuk berfikir soal hutang, dunia, percutian,keluarga, anak dan lain-lain.

Kerana itu kita semua memerlukan seseorang untuk memberi panduan kepada kita. "

Morrie berhujah panjang mengenai pentingnya watak guru di dalam kehidupan kita semua.

" Mitch, apabila kita sedar bahawa kita akan mati, kita akan melihat seluruh kehidupan dengan cara berbeza. Apabila kita belajar untuk mati, kita sebenarnya belajar untuk hidup."

Morrie walaupun dalam keadaan terbatas tetaplah menjadi seorang guru yang penuh dengan perkataan bijaksananya. 

Dalam satu pertemuan, Mitch mengakui bahawa beliau tidak tahu bagaimana untuk mengucapkan selamat tinggal.

Morrie tersenyum dan memberi isyarat supaya Mitch memegang tangannya.

Morrie menggenggam tangan Mitch dan dengan lemah meletakkan tangan itu di dadanya dan berkata.

" I love you. Inilah caranya Mitch."

Sambil beliau tersenyum.

5 - Khidmat pada guru

Mitch tidak hanya pergi menemubual gurunya. Bahkan beliau turut membantu gurunya.

Membawa beliau ke bilik air untuk membuang air. Mengurut kaki beliau. Belajar bagaimana untuk mengangkat dan membetulkan badan gurunya dengan jururawat profesional yang menjaga Morrie.

Bahkan pada satu ketika Mitch turut belajar bagaimana untuk mengetuk belakang Morrie kerana keadaan beliau sudah kritikal. Ketukan itu perlu untuk membantu pernafasan Morrie.

Terkadang ketukan itu perlu kuat dan Morrie akan berjenaka.

" Mitch, kamu memang menunggu saat untuk memukul saya ya?"

Mitch menjawab juga secara jenaka.

"Padan muka Prof. Siapa suruh bagi saya B masa awal semester tu."

Morrie tersenyum.

Esoknya Mitch perlu mengetuk lagi belakang badan Morrie dan Morrie bertanya.

" Mitch, bila saya bagi kamu B?"

6. Tentang mati

Morrie pernah memberi tahu supaya dia dibakar dan disemadikan di atas bukit. Di batu nisan nanti dia dah pun memilih apa yang perlu ditulis.

" Mitch, saya dah tahu apa yang perlu ditulis pada batu nisan saya nanti.

- sehingga akhirya, dia seorang guru."

7. Tentang buku ini.

Mitch pernah memberitahu Morrie tentang buku ini dan beliau bersetuju dengan tajuknya.

Pada awalnya ramai penerbit menolak untuk menerbitkan buku ini. Namun mujurlah ada satu penerbit kecil yang sudi mencetak dalam kuantiti yang sedikit.

Apabila buku ini dibawa masuk ke dalam rancangan Oprah Winfrey, ia terus dikenali dan mendapat sambutan ramai.

Puluhan juta terjual dan kekal dibaca sehingga sekarang.

Hasil daripada jualan buku ini juga digunakan untuk membayar kos perubatan Morrie. 

8. Filem
Buku ini juga kemudiannya dijadikan asas untuk sebuah filem juga bertajuk Tuesday with Morrie pada tahun 1999.

Ia mendapat pelbagai anugerah termasuklah anugerah Emmy yang sangat berprestij itu.

Untungnya kita boleh menontonnya di YouTube. Ini pautannya.

https://youtu.be/E463tZdAGn4

9. Temubual

Temubual yang dibuat ketika akhir hayat Morrie juga boleh dilihat disini.

https://youtu.be/gBaYzwB86Q8

10. Kesimpulan

Buku ini menarik bukan setakat kerna banyak kata-kata hikmah yang ada namun ia menarik kerana ia membawa kita menikmati satu hubungan yang sangat indah.

Hubungan di antara seorang murid dan gurunya.

Semoga Allah merahmati semua guru kita. 

Begitulah serba sedikit yang dapat ambo kongsi. Kalau nak tahu lebih lanjut carilah buku ini dan bacalah sendiri. Insya Allah takkan rugi.

Terima kasih kerna membaca. Moga-moga ada manfaatnya insya Allah.

Comments

Popular Posts