Tiger woods


Ambo tidak pernah minat golf. Juga tidak pernah cuba bermain golf. Namun satu perkara tentang golf yang ambo minat adalah Tiger woods. 

Semalam, selepas 11 tahun, Tiger Woods kembali memenangi kejuaraan Master. Hampir semua peminat beliau dan orang yang mengikuti perjalanan golf beliau menitiskan air mata.
Kenapa begitu?

Tiger Woods telah melalui segalanya yang mungkin meranapkan impian manusia. Tapi beliau tetap bangun walaupun berkali kali jatuh.

Masih ingat persoalan itu? Jatuh 7 kali. Bangun 8 kali. 

Cedera.

Kaki kiri dibedah lebih 3 kali. Kaki kanan juga begitu. Leher beliau beberapa kali bermasalah.Belakang beliau telah dibedah 4 kali. Rujuk gambar dibawah. 
Beliau pernah berada dalam keadaan fizikal yang teruk. Tak dapat memukul bola golf. Sukar memegang kayu golf. Tak dapat tunduk untuk mengambil bola golf dan pelbagai lagi kesukaran fizikal lain.

Ini mungkin disebabkan regim latihan fizikal beliau yang ala ala tentera hasil didikan ayah beliau sejak beliau mulai bermain golf. 

Namun beliau tetap melalui semuanya dengan tabah dan kembali memulihkan fizikal beliau dengan baik. 
Keluarga

Beliau bercerai dengan cinta hatinya Elin Nordegren, seorang model jelita dari Sweden ketika di kemuncak kerjaya. Perceraian ini begitu memberi kesan kepada beliau. Elin khabarnya mendapat pampasan lebih 100 juta.

Dengan Elin beliau mendapat dua orang anak.
Anak lelaki beliau Charlie berumur 10 tahun dan anak perempuan beliau Sam berumur 11 tahun.
Oo ya. Don't worry. It is Tiger.

Beliau telah pun mempunyai kekasih baru. Erica Hermen. 10 tahun muda daripada beliau. Erica adalah bekas pengurus salah satu restoran milik Tiger woods. Erica selalu kelihatan bersama Tiger kebelakangan ini. 
Ketagihan

Beliau pernah ketagih dengan perempuan,seks, alkohol,dan juga dengan ubat ubatan atau dadah kerana sakit beliau.

Beliau melalui semuanya. Beliau juga mengambil bahagian dalam sesi terapi serta kaunseling untuk menyelesaikan masalah itu. 

Kes polis

Beliau pernah ditangkap kerana melanggar pokok setelah bergaduh dengan elin.

Beliau juga pernah ditangkap kerana berada di bawah pengaruh dadah dan membahayakan lalulintas pada 2017. Selepas itu beliau mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa beliau sebenarnya berada di bawah pengaruh ubat.
Ada 4 ubat yang agak kuat telah diberikan kepada beliau. Salah satunya vicodin.

Kita kenal ubat vicodin ini melalui drama doktor genius yang gila, bertajuk House MD satu ketika dulu. Haha 🤣 

Penaja 

Beliau merupakan antara ahli sukan terkaya di kemuncak kerjaya beliau. Sebahagian besarnya adalah melaui penajaan. 
Namun bila berlaku kes perceraian beliau dengan elin serta skandal beliau yang cukup memalukan itu, ramai penaja menarik diri. 

Hanya Nike dan bbrp lagi sahaja yang setia dan memberi sokongan kepada beliau. 

Pandangan umum

Beliau telah di labelkan dengan pelbagai gelaran yang teruk. Pernah dalam satu dokumentari, beliau ditunjukkan respon orang ramai bila disebut nama beliau. 
Semuanya mencaci beliau. Teruk bahasa yang digunakan terhadap beliau. Dan semua mereka memberi saranan supaya beliau bersara. Masa beliau di dalam sukan golf telah lama tamat. 

Beliau mendengar semua itu dengan sabar. Kemudian beliau hanya tersenyum. 

Beliau sebenarnya telah pun menjadi lagenda dalam sukan golf. Sukar bagi orang lain untuk mendekati rekod dan pencapaian beliau. Beliau boleh bersara dengan tenang. 

Namun beliau tetap bermain. 

Kelihatan dalam kejohanan Master kali ini, Michel Phelps, lagenda renang dunia berada di belakang beliau memberi sorakan. 

Phelps memang diketahui umum pernah terlibat dalam masalah ketagihan dan berjaya keluar dari masalah itu. Beliau turut menjadi rakan buat Tiger membantu beliau melalui proses untuk membuang ketagihan. 
Jack Nicklaus. Phil Mickelson. Magic Johnson. Le Bront James. Kobe Bryant. Tom Brady. Semua tokoh sukan lagenda ini mengucap tahniah kpd beliau. 
Bahkan Serena Williams juga turut mengucap tahniah. Katanya, beliau melihat Tiger woods menjulang kejuaraan ini dengan tangisan kerna beliau tahu dengan segala masalah kecederaan itu, bukan satu perkara senang untuk kembali ke puncak. 
Ketika kerjaya beliau merudum beliau pernah berkata. 

Dulu saya bermain kerana ayah dan ibu saya. Namun kini saya bermain untuk diri saya sendiri. Beliau bergelut untuk kembali ke puncak prestasi. 

Sebaik beliau menang beliau memeluk erat anak2 beliau persis ketika kali pertama beliau menang pada 1997. Ketika itu beliau memeluk erat mendiang bapa beliau. 
Beliau menjelaskan di sidang media selepas itu. 

Dulu bapa saya menjadi motivasi terbesar saya. Beliau yang selalu membentuk saya, memberi saya semangat untuk menjadi yang terbaik. 

Namun kini saya pula yang telah menjadi seorang ayah. Saya ingin memberi semangat dan motivasi kepada anak2 saya. Mereka lahir ketika saya di zaman kejatuhan. Bagi mereka golf adalah sesuatu yang telah menyakitkan ayah mereka. Golf adalah pemberi masalah kepada ayah mereka. Namun saya harap kemenangan ini akan memberi mereka kenangan manis terhadap golf. 
Nike yang menjadi penaja setia beliau mendapat durian runtuh selepas Tiger woods menang semalam. Hampir semua produk Nike berkait Tiger woods dikatakan sold out. 

Nike juga telah membuat video khas meraikan kemenangan Tiger. Video itu menunjukkan Tiger yang berusia 3 tahun bercakap tentang impian beliau  untuk menjadi lagenda golf yang lebih baik dari Jack Nicklaus. 

Check out @Nike’s Tweet: https://twitter.com/Nike/status/1117497381832933376?s=09

Kata Nike... Jangan sesekali berhenti mengejar impian kita yang gila tu. 
Apa yang dilakukan oleh Tiger woods ini memberi pengajaran kepada kita. 

Kita boleh sahaja melakukan semua kerja dengan penuh komitmen demi untuk menunjukkan kepada pengkritik kita bahawa mereka sebenarnya salah. 
Namun, motivasi yang jauh lebih baik daripada itu adalah kita berusaha untuk menunjukkan kepada diri kita sendiri bahwa intuisi atau gerak hati kita sebenarnya adalah benar serta betul. 

Serendah mana pun kita jatuh, insya Allah kita akan mampu untuk bangun. 

* Artikel ini di muat naik ke Facebook ambo pada 15 April 2019

Tiger woods mengakui kelemahan beliau dan mendapatkan bantuan untuk mengatasinya. Itu cara terbaik. 

Dan beliau bertuah mempunyai rakan2 setia yang selalu di samping beliau untuk melalui segala episod hitam kehidupan ini. 

Comments

Popular Posts