Hari ke-4 - Perintah Kawalan Pergerakan - sempena Isra Mikraj

Hari ini sudah masuk hari keempat perintah ini kita lalui. Ia juga menjadi hari pertama kita di Daerah Setiu ini mematuhi peraturan untuk menutup semua premis perniagaan pada jam 6 petang. Semua. Termasuk 7/11 dan stesen minyak.
Masjid, telah 4 hari ditutup. Tandas awam juga di arah tutup. 

Malam ini suasananya hening sekali. Jarang ada kenderaan di atas jalan. Hanya sekali sekala kelihatan. Roadblock pun ada dimana mana. 

Banyak tempat gelap. Tiada kelihatan manusia berkumpul, berbual di tempat biasa perkumpulan. 

Alhamdulillah. Moga semuanya patuh kepada arahan walaupun ianya agak menyukarkan kita. 

Hari ini juga ada beberapa kematian dan jumlah kes meningkat berkait Covid 19.

Semoga Allah merahmati mereka dan memberi mereka kesembuhan.

Melindungi kita dari covid 19 ini. 

Malam ini juga malam Israk Mikraj. 

Satu peristiwa yang berlaku di saat baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam menghadapi pelbagai duka dan luka. 

Sedih. Seperti sedihnya kita dengan keadaan yang berlaku sekarang. Yang merompak kebebasan hidup kita. Yang menghalang kita daripada merasai kegembiraan dan nikmat dunia. 

Namun, baginda Rasulullah shallallāhu alaihi mengajar kita. 

Walaupun baginda shallallāhu alaihi wa sallam diselimuti kesedihan, keyakinan baginda shallallāhu alaihi wassalam kpd Allah taala tidak pernah berkurang. 

Baginda menghadapinya dengan penuh sabar.

Baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam mengajar kita dan memberi kita teladan, bahawa apa pun kesedihan serta kesukaran yang kita hadapi, jangan pernah sesekali pudar keyakinan kita kpd Allah taala.

Nabi Yusuf alaihissalam dikhianati adik beradiknya, dibuang ke dalam telaga, dijual sebagai hamba, namun berkat keyakinan baginda alaihissalam kpd Allah taala baginda Yusuf alaihissalam menjadi seorang menteri dan orang paling berpengaruh di negara beliau. 

Nabi Ibrahim alaihissalam ketika bersemuka dengan kejahatan Namrud, telah dilemparkan ke dalam api namun api itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada baginda alaihissalam. 

Samalah dengan realiti yang sedang kita hadapi ketika ini. 

Ramai juga di kalangan kita hampir berputus asa dengan keadaan sekarang. 

Hidup tapi gerak kita mati. Perut lapar akan tetapi bekalan makanan yang membukit hampir tinggal busut. Banyak perkara perlu dibeli di saat duit semakin berkurang. 

Namun, baginda Rasulullah shallallāhu alaihi mengajar kita. 

Jangan sesekali berpaling daripada Allah taala.

Terus menghadap Allah taala yang maha Agung dan berpaut padanya. 

Yakin tanpa sesekali ragu, bahawa dalam ujian itu adanya anugerah. Dalam kesulitan itu akan ada kemudahan. Dalam runtuhan itu adanya khazanah berharga. 

Dan dalam gelap yang pekat itulah kita akan menjumpai serta melihat cahaya yang terang.

PUTUS ASA

Sebelum peristiwa Isra itu juga berlakunya peristiwa bersejarah di thaif. Ketika baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam mengajak orang thaif kpd Islam, baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam telah ditolak, dihina, dicemuh serta dilempar dengan batu. 

Allahu akbar ya karim. 

Baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam menerima segala ini dengan penuh sabar. Walaupun diperlakukan dengan teruk baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam tetap tidak berputus asa dan bersangka baik kepada Allah taala. 

Kepada mereka yang menzalimi baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam, baginda shallallāhu alaihi wassalam mendoakan mereka dengan doa yang baik2 sehingga akhirnya penduduk thaif menerima Islam. 

Ya Rabb. 

SOLAT

Solat adalah anugerah yang paling bernilai yang menjadi talian penghubung di antara makhluk dan kholik. Antara seorang hamba dan tuhannya. 

Solat ini menjadi hadiah dan anugerah kepada baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam dan ummatnya setelah menghadapi duka dan luka yang dalam. 

Tanpa solat, ibadah lain tidak berguna. 

" apa yang berlaku pada/dalam diri kita sewaktu solat, Menentukan bagaimanakah kita di luar solat. Dan apa yang kita buat di luar solat menentukan apa yang berlaku pada/dalam diri kita semasa solat."

Kerna itu kita disuruh MENDIRIKAN solat. 

Iaitu membangunkan solat kita dengan menyempurnakan segala adab dan peraturannya baik yang zahir serta yang batin hingga ianya diterima oleh Allah taala. 

Solat itu bukan sahaja dapat membersihkan kita daripada dosa bahkan ia adalah pintu kepada perkara ghaib. 

Kecemerlangan cahayanya pula sesuai dengan keheningan hati seseorang. 

Walaupun masjid ditutup buat sementara. Namun solat akan terus tegak didirikan oleh ummat baginda Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam. 

Kerna itu lah penawar bagi musibah. Itulah pelita kita di dalam gelap. 

Itulah hadiah paling berharga buat kita ummat sayyidina Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam 

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

* artikel ini di muat naik ke Facebook ambo pada 21 Mac 2020

Comments

Popular Posts