Hari ke 34 PKP

Sebaik mengambil gambar ini pada jam 6. 40 petang ini, ambo kehilangan kata, kering idea, mungkin kerna sinar mentari yang begitu terik. Terik. Hingga ambo juga kemarau ilham.
Namun bila ambo membuka Facebook, ada teman mengungkap kata-kata dari Helen Keller di Facebook beliau.

" The best and most beautiful things in the world cannot be seen or even touched - they must be felt with the heart."

Perkara terindah di dalam dunia ini tidak akan pernah mampu kita lihat atau sentuh. Namun ianya dapat kita rasakan melalui hati.

Tiba-tiba ambo terdengar guruh. Petir memanah langit yang semakin gelap. Dan hujan. Hujan ilham yang lebat turun di tanah fikir ambo.

Ambo tidak pasti teman ambo yang mengambil kata-kata Helen Keller itu mengenal Helen atau tidak.

Namun, ada perkara menarik tentang beliau.

Helen Keller ini adalah di antara manusia istimewa. Beliau dilahirkan normal. Akan tetapi ketika usianya 19 bulan beliau diserang penyakit sehingga menyebabkan beliau Buta dan Pekak.

Ya. Buta. Tidak boleh melihat.
Ya. Pekak. Tidak boleh mendengar.

Kerna itu, kata-kata beliau tentang keindahan yang hanya boleh dinikmati dengan hati itu begitu mencuit.

Jika tidak mampu melihat, bagaimana untuk mengenal?
Jika tidak mampu mendengar bagaimana untuk membeza?

Awal hidup beliau begitu  sulit sehingga pada satu hari beliau berjumpa dengan gurunya iaitu Anne Sullivan.

Anne Sullivan dengan penuh sabar mengajar beliau sehingga beliau mampu berinteraksi dengan cara beliau sendiri. 

Anne terpaksa menghadapi amukan dan amarah Helen ketika mengajar beliau. Namun ini tidak mematahkan semangat Anne Sullivan.

Kecekalan Anne ini dirakam indah melalui filem The Miracle worker.

Ada dua versi filem ini. Versi pertama filem keluar pada tahun 1962 dan versi kedua keluar pada tahun 2000.

Kedua filem ini dibuat berdasarkan buku autobiography Helen Keller yang terbit pada tahun 1903. 

Filem The Miracle Worker itu pula menjadi asas kepada satu lagi filem Hindustan yang mungkin kita pernah tonton.

Filem bertajuk Black pada tahun 2005 lakonan Amitabh Bachan dan Rani Mukerji.

Sehingga akhirnya, Helen Keller, seorang yang pekak dan buta ini berjaya memperoleh ijazah di universiti.

Beliau kemudiannya sangat aktif menulis dan bergiat di dalam pertubuhan kebajikan dan NGO sehingga akhir hayat beliau. 

Beliau diberi anugerah tertinggi bagi orang awam di negara uncle sam. 

Begitu hujan ilham masih lebat, namun bilal telah memberi isyarat azan maghrib hampir tiba. 

Ok lah. Cukup sekadar itu sajalah yang mampu ditekan di papan keyboard petang ini. 

Ambo tinggalkan teman-teman facebook ambo dengan satu lagi kata-kata Helen yang ambo suka. 

Kata beliau.... 

Kamu tahu apa yang lebih teruk daripada menjadi seorang buta? 

Mampu melihat tapi tidak mampu memandang!

* artikel ini di muat naik ke Facebook ambo pada 20 April 2020

Comments

Popular Posts