Hari guru - Terima kasih cikgu ( mengimbau sebuah kenangan sempena hari guru)
Tengahari semalam sebaik lepas Zuhur ambo terdengar ada sesuatu jatuh tidak jauh dari tempat ambo solat. Apabila ambo pergi melihat apakah bendanya itu, ambo tersenyum.
Rupanya ia adalah buku log ambo pada tahun 1999 dulu. Buku ini merupakan catatan ambo terhadap bacaan buku Bahasa Inggeris ketika itu.
Lucu pulak melihat tulisan sendiri. Di antara buku pertama yang dibaca bertajuk " The Comeback Kid".
Pagi ini, lepas sahur, sementara menunggu subuh, ambo terlihat pula sebahagian buku dalam simpanan ambo yang telah ambo habis baca. Ia berada betul-betul di hadapan ambo.
Ya Rabb.
Selepas subuh, ambo membiarkan hujan kenangan yang datang melanda mengalir menjadi catatan ini.
" Penulisan kamu ini kosong. Ibarat masakan yang tidak ada rasa. Kamu sudah ada idea sebenarnya. Grammar kamu juga semakin baik. Namun kamu kehilangan sesuatu di dalam karangan kamu ini."
Inilah perkara yang diberitahu kepada ambo sebaik ambo masuk menemui guru Bahasa Inggeris ambo pada tahun 1999. Madam Hajah Ilani Ashari.
Pada tahun 1999 itu, ambo sedang berada di tingkatan 3, bersedia untuk mengambil PMR di SMKA Wataniah, Alor Keladi, Jertih, Republic of Besut.
Ambo terdiam tanpa kata mendengar apa yang disebut oleh madam.
Bahasa Inggeris bukan bahasa yang selalu kita guna. Apatah lagi kita ini anak kampung. Bukan seperti budak bandar yang kedua ibu bapa mereka fasih membaca dan bercakap dalam Bahasa Inggeris.
Ambo tertunduk sahaja di depan madam. Tidak tahu bagaimana untuk membalasnya.
Madam kemudiannya menyambung penerangannya.
" Kita manusia ini pun begitu juga kan. Kita ada jasad. Dan di dalam jasad kita ini adanya ruh. Penulisan pun begitu Suzaime. Perlu ada ruh di dalamnya. Sebagaimana di dalam masakan ada pelbagai rasa, di dalam penulisan juga perlu begitu."
Ambo tunduk dan mengangguk faham. Madam terus menyambung.
" Untuk mendapatkan rasa itu, kamu perlu ada pengalaman. Dan kamu perlu banyak membaca. Belajar bagaimana penulis buku menggunakan perkataan mereka. Belajar bagaimana penulis menghidupkan cerita. Bagaimana perkataan mereka seakan hidup dan ayat yang mereka karang menjadi cerita di dalam imaginasi kita. "
Ambo mengangguk faham walaupun ambo masih tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan madam ketika itu.
Madam kemudian bangun dan mendekati rak buku di tepi beliau. Memang di dalam bilik Bahasa Inggeris madam ini ada banyak buku.
Madam seterusnya memberikan ambo satu buku.
Buku itu bertajuk " The Comeback Kid". Lebih kurang 90 muka surat.
Dan Madam terus memberi penerangannya.
" Kamu harus mula membaca. Mula dengan buku ini. Semasa saya sebaya kamu, buku setebal ini mampu saya habiskan dalam masa sehari sahaja. Haa, lepas habis baca datang balik jumpa saya."
Mak aiiiiii. Madam baca ko gapo tuh. Laju molek. Lintas hati ambo. Macamana la nak habiskan buku ni. Tebal jugak ni.
" ok Madam. Insya Allah. " Itu je jawab ambo.
Ambo keluar dari bilik madam dengan penuh semangat. Kalau madam boleh buat, ambo mungkin boleh buat jugak. Ambo kena cuba.
Kami bertuah ketika itu, kerna seorang lagi guru Bahasa Inggeris kami, Sir Zaharani Omar telah membuat satu buku untuk kami.
1500 perkataan yang wajib kami hafal. Setiap kali beliau masuk ke kelas, dengan berbekal sebatang rotan panjang beliau akan bertanya kami tentang maksud perkataan di dalam buku itu. Kalau tidak hafal dan tidak tahu memang akan di rotan.
Alhamdulillah, memahami dan menghafal perkataan-perkataan ini membantu ambo untuk membaca buku dengan baik tanpa terlalu kerap membuka kamus.
Esoknya ambo pergi menemui madam.
" Madam. Saya dah habis baca buku ni."
Madam memandang ambo.
" serius?. Ok duduk."
Selepas itu, madam bertanya beberapa soalan tentang buku itu. Apa ceritanya. Apa konfliknya. Apa pengajarannya. Apa yang menarik. Apa yang tidak menarik.
Alhamdulillah. Ambo boleh menjawabnya dengan baik.
Kemudian madam memberi buku lain untuk dibaca. Buku yang dipilihnya sendiri untuk ambo. Waktu itu baru ambo tahu rupanya ambo mampu untuk membaca buku Inggeris setebal ini dalam masa sehari.
Ambo juga tidak akan mungkin mampu untuk membaca dan memahami buku itu dengan baik jika tidak kerna Teacher Siti Rosmah.
Teacher Siti Rosmah adalah guru kelas ambo dan juga guru Bahasa Inggeris ambo dari darjah satu sampai darjah 5. Beliau berasal dari Selangor. Sangat cantik orangnya. Ada iras Cina. Matanya sepet.
Masa ambo darjah tiga, beliau memberikan ambo beberapa helai kertas kajang. Balik dan hafal katanya.
Rupanya itu sebuah cerita yang beliau salin dari sebuah buku di perpustakaan. Tulisan beliau sangat cantik.
Cerita itu bertajuk " Littlebirds learns to fly"
Ambo cuba untuk hafal dan bertemu semula teacher keesokannya harinya.
Teacher menjelaskan makna huruf itu satu per satu. Teacher juga menjelaskan cerita itu dengan sangat teliti. Mengajar ambo bagaimana untuk memahami cerita dengan baik.
Ambo yang ketika itu darjah tiga sungguh merasa takjub dan kehairanan.
Waaa.. Hebat betul teacher. Lintas hati ambo.
" Zaime, kamu kena hafal cerita ini kerna kamu akan mewakili sekolah kita di dalam story telling competition bulan depan."
Terus ambo berasa panas sejuk. Demam terus. Menggeletar badan memikirkan untuk bercakap di hadapan orang ramai.
Selepas itu, setiap hari teacher akan memanggil ambo dan menyemak bacaan dan hafalan ambo.
Adoii, masih teringat betapa sukarnya untuk menyebut perkataan Inggeris yang ada " th" dengan lidah kelate ambo.
Mother. Father. Three.
" Zaime, Three. Three. Bukan tree. Sebut betul-betul."
Prap satu cubitan singgah di perut.
" three." ambo menyebut
Haa.. Boleh pun... Teacher senyum sambil menambah
" memang kamu nak suruh teacher cubit kan?"
Teacher Siti memang terkenal dengan cubitan. Cubit di perut. Ambo di antara murid yang selalu kena. Apatah lagi bila mak ayah ambo sendiri yang berpesan kepada teacher.
" Teacher buat la macamana pun kalau Zaime ni nakal. "
Teacher tersenyum mendengarnya.
Habislah perut ambo. Jadi macam kereta kebal doh la. Lintas hati ambo ketika itu.
Banyak kali berlaku, semasa ambo sedang bermain dengan rakan-rakan di luar kelas, tiba-tiba dengar suara Teacher siti.
" Zaime!!! Tuck in your shirt!"
Ala padan dohla. Habis kami semua lari. Tapi ambo je yang kena panggil selepas itu.
Prap. Kena cubit lagi di sebelah kiri perut.
"Ni kenapa tak tuck in your shirt?" tanya teacher
buke dok tuck in ticer. Dio tubit sendiri jawab ambo
" Tubit apa tubit. Speak in English!" tegas teacher sambil menahan ketawa melihat ambo
Cer. Cer.. Cer.. Pedih ticer jawab ambo lagi.
Apa pedih dalam English? Tanya teacher
Hmmm.. Adoi.. Gapo eh. Spicy cer spicy cer
Teacher dan ambo kemudian sama-sama ketawa. Dan dia melepaskan cubitan. Ambo membetulkan baju di hadapan teacher. Kemudian bertanya beliau.
" ok dok gini ticer. Comel dok?"
Prap. Singgah pulak cubitan di sebelah kanan.
" Adoi, bakpo pulop ni cer.. Tuck in doh kan ni?" Tanya ambo
" Ni sebab kamu menjawab sangat!" sambil beliau tersenyum.
Walaupun terasa pedih, ambo turut ketawa.
Ambo rasa ambo yang paling banyak kena cubit dengan teacher tapi ambo jugak yang selalu membuatkan teacher ketawa.
Ambo hanya sampai di peringkat daerah di dalam story telling competition itu.
Tanpa sedar ambo berjaya menghabiskan banyak buku di bawah pemerhatian Madam Ilani dan penulisan ambo bertambah baik.
Ambo juga sempat menyalin hampir ratusan karangan di dalam Bahasa Inggeris untuk memperkemaskan lagi penulisan ambo.
Begitulah caranya kita ini anak kampung. Bahasa Inggeris ini tidak pernah mudah kepada kita.
Selepas lama keluar dari sekolah baru ambo tahu kenapa madam menyuruh ambo banyak membaca dan memberitahu tentang ruh di dalam penulisan.
Madam Ilani di antara guru ambo yang selalu memberi semangat kepada ambo untuk menulis. Beliau selalu memerhatikan penulisan ambo di Facebook
Kata beliau.
" I know you can make a great writer. You are very talented. I realized that since school."
Inilah karomah seorang guru.
Merekalah orangnya selain ibu apa kita yang selalu memberikan kita keyakinan.
Guru juga mampu melihat apa yang ada di dalam diri kita. Mereka membantu kita untuk menggilap bakat kita tanpa kita sedar.
Ambo masih ingat sewaktu menjawab kertas Bahasa Inggeris PMR di dewan SMKAW, ambo berasa seperti diperhatikan. Ambo memandang keliling, tiada apa-apa.
Kemudian ambo memandang keluar. Ke arah bilik bahasa Inggeris madam.
Madam rupanya ada di situ melihat terus ke arah ambo.
Beliau kemudiannya tersenyum. Dengan senyuman Julia Roberts dan membuat thumbs up kepada ambo.
Ambo tersenyum kembali dan mengganguk faham maksud madam.
Just believe in yourself and do your best!
Ambo bertuah punyai sekian banyak guru yang hebat walaupun ambo bukanlah murid yang baik.
Teacher Siti bukan setakat membantu ambo untuk menguasai asas Bahasa Inggeris dengan baik namun beliau turut membekalkan ambo dengan cerita itu.
Littlebirds learns to fly. Cerita bagaimana seekor anak burung yang sukar untuk terbang. Berpuluh kali jatuh. Namun tidak pernah putus asa. Sehingga akhirnya mampu menggunakan sayapnya dengan baik untuk terbang.
Madam pula melalui The Comeback Kid, menanam satu semangat kepada ambo supaya terus melangkah tanpa putus asa untuk meraih impian.
Jika tidak kerna madam menyuruh ambo membaca The Comeback Kid, ambo mungkin tidak mampu membaca buku-buku yang ambo baca sekarang.
Itulah hebatnya anda sang guru.
Betapa sukar pun ujian guru sekarang, bertabahlah.
Kerna andalah puncanya dunia kita ini dalam keadaan baik.
Adalah yang memberi inspirasi kepada kami dan menunjuk jalan kepada kami.
Semoga tuhan merahmati semua guru kita.
Selamat Hari Guru.
** tidak kasih kerna membaca coretan lepas subuh secara spontan pagi ini. Maaf jika agak tidak berapa kemas dan panjang.
Comments
Post a Comment