Dunia Tanpa Tembok. Buku oleh Saudara Ayman Rashdan Wong

Ia berlaku beberapa bulan yang lepas.Sebuah peristiwa yang memungkinkan penulisan ini dibuat. 

Ketika itu, ambo terlihat seorang rakan ambo memuat naik buku yang dipesan oleh beliau terbitan dari Patriot Publication di Facebook.

Ambo macam biasalah, masuk mencelah di ruangan komen beliau sambil bergurau.Akhirnya beliau turut memesan buku itu kepada ambo sebagai hadiah.

Ya Rabb. Hanya Engkaulah yang mampu membalas baik budi dan suci hati rakanku ini. Kurniakan beliau sebaik anugerah ya tuhan.

Tak lama kemudian, tibalah tiga biji buku Dunia Tanpa Tembok tulisan Saudara Ayman Rashdan Wong aka ARW di Sungai Tong.
Sejujurnya ambo bukanlah pengikut setia halaman The Patriots, dan bukan juga pembaca tegar tulisan Saudara ARW. Adalah sekali sekala menjenguk halaman itu dan membaca tulisan disitu.

Ya, memang halaman itu sudah disukai namun jarang benar ia melintas di halaman facebook ambo.

Maka benarlah kata orang tua kita. Menyukai itu tidak semestinya akan bersama.

Setelah menekuni tiga buku ini, baru ambo faham kenapa ia begitu laris di pasaran.

Kerna cara penulisan saudara ARW ini sangat ringan dan ada gaya tersendiri walaupun isinya agak berat dan sedikit kompleks. 

Gaya yang mampu mencuit hati anak muda untuk terjun memahami ilmu Geopolitik dan semua yang bersalahan dengannya.

Dunia Tanpa Tembok I

Apabila ambo mulai membaca buku pertama iaitu Dunia Tanpa Tembok 1, ambo tersenyum lebar. Kerna baru ambo tahu betapa berharganya ilmu Pengajian Am dan Sejarah yang ambo pelajari di tingkatan enam dulu.

Buku pertama ini bermula dengan negara kita. Sejarah nama negara dan bendera. Kemudian terus saja penulis memberi kaitan bagaimana keadaan negara kita amat berkait rapat dengan sejarah dan keadaan negara lain juga.

Istilah seperti Statecraft,balance of power, TPP, free trade, rothschild mulai muncul dan diterangkan dengan sangat baik dan ringkas.

Muncul juga nama seperti Machiavelli,
Trump,Bush dan lain-lain.

Alhamdulillah, nama Sajat tidak disebut langsung.

Tanpa peta dan kedudukan sesebuah negara,sukar untuk kita memerihalkan sesuatu.

Saudara ARW dalam hal ini berjaya memberi kuliah geografi kepada kita tanpa kita rasa terbeban untuk membayangkannya.

Daripada Tanah Melayu ke bumi Indonesia,
kemudian menjenguk sekejap khilafah Turki Uthmaniyyah,melebar hingga ke tanah uncle Sam,Cina,Korea,Jepun dan tanah Arab  sehingga tanpa sedar saudara ARW membawa kita menjelajah hampir keseluruh dunia.

Apakah sebenarnya krisis di Syria? Apa punca Putin setia pada Assad.

Pembunuhan ahli keluarga Kim dari Korea Utara di bumi Malaysia, isu besar yang mampu membawa impak negatif kepada negara. Bagaimana Malaysia menanganinya. 

Mengintai sejarah,memahami jatuh bangun peradaban manusia serta melihat masa depan yang bakal berlaku.

Setiap peristiwa,konflik dan pertikaian disusun dengan agak rapi sehingga kita mampu melihat kaitannya dengan apa yang sedang difahamkan kepada kita,iaitu mengenai Geopolitik.

Yang agak menarik,pada hemat ambo, adalah tentang teori Machiavelli.

Kita sudah biasa dengan kata-kata yang disandarkan kepada beliau iaitu matlamat menghalalkan cara. Dan selalunya kita melihat betapa perkataan ini sering disalah guna dan sering membawa natijah yang buruk.

Saudara ARW bagaimanapun memberi penerangan bahawa,ya betul itu kata-kata Machiavelli, namun sebenarnya yang dimaksudkan dengan kata-kata itu adalah bagaimana orang baik perlu kedepan untuk menguasai politik dan tidak menyerahkan kekuasaan kepada orang yang buruk akhlaknya. Beliau memberi penerangan ini dari sudut sejarah Machiavelli. Menarik.

Erdogan, disebut dan dihujahkan oleh saudara ARW sebagai The Prince.

' Kita bukan gila kuasa,tapi kita ingin merebut kuasa daripada orang gila.'

Buku pertama ini, bahasanya sangat mirip kepada bahasa media sosial.
Dunia Tanpa Tembok II

Masuk ke buku kedua iaitu Dunia Tanpa Tembok II, penulisan beliau lebih kemas dan tersusun.Lebih akademik, namun masih ringan dan ada lawaknya secara spontan disana-sini.

Di buku kedua ini,beliau membawa kita masuk lebih dalam untuk memahami tiga perkara penting dalam geopolitik iaitu

- Kuasa
- Geografi
- Identiti

Ini diselang-seli dengan pelbagai latar sejarah konflik yang berlaku di dalam dunia.Di semua tempat.

Brexit,Jalan Sutera Baru,Trumpolitik,
Pelabuhan Air suam,Konflik pak Arab,
Nuklear,Asean dan banyak lagi dihurai beliau dengan teliti tapi ringkas.
Mudah tapi sarat.

Buku kedua ini juga mendapat anugerah Buku Negara 2019 dan bakal diterjemah ke dalam Bahasa Son Ye Jin. Ya, Bahasa Korea.
Dunia Tanpa Tembok III

Di buku ketiga,iaitu Dunia Tanpa Tembok III, beliau meneruskan penerangan tentang geopolitik dengan lebih terperinci melalui setiap negara yang beliau senaraikan.

Rupanya politik ini begitu rencam dan tidak boleh hanya dibaca selapis sahaja.Ia punyai pelbagai lapisan yang perlu kita suluh dengan alatan yang sesuai.

Jika kita merasakan,bahawa negara kita teruk kerna ada berlaku perubahan kuasa tanpa PRU, bacalah buku ini. Banyak lagi negara ada pertukaran kuasa sebegini.

Banyak lagi episod pengkhianatan dan ketidakjujuran sang politikus yang menyebabkan kesan langsung kepada negara.

Memang menarik ketiga-tiga buku ini.

Terima kasih kepada Saudara Ayman Rashdan Wong kerna berjaya menjadikan topik berat sebegini begitu mudah dan amat menarik sekali. 

Kat mana nak beli?

Laa. Mudah je. Tekan link ni.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia?smtt=0.0.9

The Patriots, penerbit buku,sebenarnya telah dilabel konservatif oleh sebahagian penentangnya.

Apabila The Patriots, membuat kicauan tentang Busa Bangsar di wilayah Twitter yang mengaitkan Busa Bangsar ini dengan pemilik idealisme urban dan liberal, maka ia menjadi satu perang besar disitu.

Perang di antara pemilik idealisme tradisional konservatif dengan pemilik idealisme urban dan liberal.

Sebahagian besarnya adalah anak muda.

Kita tidak harus takut dengan idealisme ini. Itu hak peribadi,namun adalah indah, 
jika anak muda ini diberi ruang yang lebih besar untuk berwacana dan saling bergaduh pendapat secara bersemuka.

Pandangan mereka setelah itu mungkin akan menjadi lebih matang dan segar.

Yang penting mereka boleh saling mengenali dan bersaudara.

Ini boleh memberi kesan positif kepada negara.

Lagipun,memang sudah sampai masa untuk anak muda kedepan. Politikus tua sudah begitu memberi banyak masalah kepada kita.

Mungkin ada betul juga kata Seniman Besar Tan Sri P Ramlee itu….

' Dah tua pun bodoh'

Zaime,
Sungai Tong
Masa menulis : 1800-1900 -9 Julai 2020

Comments

Popular Posts