Di antara keberanian mengikut gerak hati dan ketabahan mengikut petunjuk suci


Hari ini agak sedikit riuh di media sosial berkenaan seorang ikon hijab, blogger fesyen dan pengasas jenama tudung di negara mat saleh yang membuat keputusan untuk membuka tudung. Tidak lagi mahu memakainya.

Tidak mahu menipu diri sendiri. Tidak ingin menjadi seorang hipokrit. Ingin menjadi diri sendiri mengikut gerak hati. Begitulah sedikit sebanyak alasannya.

Maka berduyun duyun lah netizen mencaci maki personaliti tersebut dengan segala macam cacian. Tak kurang, orang yang mempertahan keputusan beliau itu.

Sejujurnya jika ingin disenaraikan, telah banyak ikon tudung serta influencer tudung baik di dalam atau luar negara yang memilih untuk tidak lagi memakainya.

Dengan pelbagai alasan dan sebab.

Apa yang boleh kita belajar?

Jika ingin mengikut amarah, mungkin kita juga akan turut mencaci maki. Namun, inilah sebenarnya kehidupan. Perjalanan yang penuh dengan uji dan duga.

Kejadian ini begitu mengusik hati kita. Mengingatkan kita bahawa hidayah itu milik Allah Taala semata-mata.

Dan kita tidak boleh mendabik dada, bermegah, dan yakin mengatakan bahawa keimanan kita akan terus kekal hingga ke akhirnya kerna dunia ini pentas duga.

Kita tidak akan pernah tahu apa yang ujian yang akan mendatangi kita.

Ya, sedar atau tidak. Mahu atau tidak mahu, kita ini sebenarnya sentiasa berada di ambang perang. 

Perang yang akan menentukan bagaimanakah kehidupan kita di dunia ini dan hidup yang akan kita tempuhi di negeri abadi. 

Kita melalui saat getir perang ini setiap hari. Bahkan pada setiap detik denyut nadi kita. Pada setiap naik turun hela nafas kita. 

Peperangan untuk memastikan kerajaan hati kita berada di bawah petunjuk dan rahmat ilahi.

Perang yang berlaku di antara tentera cahaya dan tentera Kegelapan untuk merebut kekuasaan di Daerah Hati itu.

Selalu kita tertipu dan tewas dalam peperangan ini. 

Terkadang, pada zahirnya kita nampak baik memakai tudung atau serban dan jubah, namun di hati kita masih tersimpan penuh amarah. 

Terkadang di mulut kita selalu menyebut nama tuhan dan keagungannya, terlihat kita ini berakhlak mulia, namun jauh di sudut hati kita masih penuh dengan kebencian dan dendam. 

Terkadang kita ini kelihatan seperti pencinta tegar negeri akhirat, namun hanya tuhan yang tahu bahawa jauh di hati kita, kita adalah penagih cinta dunia. 

Allahu rabbi Ya Karim

Kerna itu kita sering diperingat. 

Jangan sesekali merasa baik, kerna itu pintu gerbang kejahatan. 

Jangan sesekali merasa ada, kerna itu pemadam jiwa hamba. 

Jangan merasa megah dengan ketaatan kita, kerna kita belum tahu apakah amal kita itu akan diterima. 

Kita harus terus merendah diri. Memohon kepada ilahi agar menerima amal kita. Tetap mengekalkan kita di bawah naungan taufik hidayahNya. Dan melindungi kita daripada tertipu dengan nafsu, dunia serta syaitan dan bala tenteranya. 

Akhir zaman, berpaut kepada arahan tuhan ibarat menggenggam bara api. 

Dan kita semakin menghampiri zaman itu. 

Zaman ini, zaman di mana media sosial begitu menguasai, telah menghakis banyak keikhlasan kita. 

Sedangkan keikhlasan itu adalah punca kepada segala macam perkara baik. 

Kita perlu melindungi keikhlasan ini dengan apa cara sekalipun supaya jiwa kita, daerah hati kita, kerajaan hati kita akan terus bersinar dengan cahaya ilahi. 

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

 
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

* ambo sebenarnya ingin menyebut nama ikon itu dan meletak gambarnya disini. Namun, ada seorang rakan memberi nasihat.

" Jangan disebut namanya. Jangan diletak gambarnya itu. Yang tahu tahulah. Kita masih perlu menjaga aibnya di samping terus mendoakan yang baik-baik buat beliau.

Semoga tuhan menutup aib kita dan mengekalkan kita di bawah naungan taufik hidayahNya." 

Kerna itu ambo letak gambar kartun ini. 😁

* Artikel ini di muat naik ke Facebook ambo pada 4 Jun 2020

Comments

Popular Posts