Kerlipan cahaya Mycena

".... Aib Mi, aib!"

" Permulaan bagi sebuah perjalanan yang benar adalah mengetahui akan aib diri sendiri. Memahami segala kekurangan yang ada. Tahu akan cacat cela kita." 

Teringat pesanan guru ini sebaik ambo melihat di belakang rumah ada satu kulat kecik yang bersinar di dalam gelap. 
"... Ni, kalau jauh di dalam hutan, kulat ini biasanya tumbuh dengan banyak secara berkumpulan dan pada waktu malam memang cahaya mereka cukup terang. Kehijauan. Kalau dalam bahasa saintifiknya, golongan kulat sebegini dipanggil Mycena." 

Abang ambo memberi penerangan, sambil membuka lampu flash kameranya untuk memudahkan ambo mengambil gambar. 

Alhamdulillah. Ambo mampu menikmati keajaiban alam ini hanya di belakang rumah ambo. 

Manusia ini makhluk aneh. Kita ini dijadikan tuhan tapi lagak kita tidak sepertinya. 
Kita telah diberikan sebaik contoh tauladan bagi sekalian Ummat manusia iaitu sayyidina Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam, namun jarang benar kita ikuti akhlaknya. 

Kita juga telah diberikan sebaik kitab suci. Kalam Allah. Yang ayat awalnya itu menyuruh kita membaca dengan nama tuhan. Tidak juga kita ikuti pesanan ini. Malas kita membacanya. Kalau ada pun kita membaca, hanya sekadarnya. Untuk mengurangkan rasa bersalah mungkin. Atau hanya sebagai penghalau hantu atau jin.

Leka. Kita leka dengan pelbagai gejolak rasa yang sering menganggu kita untuk fokus menjadi hamba tuhan. 

Ramadan adalah antidote terbaik. Penawar semulajadi. Penyembuh ajaib. 

Ramadan mengingatkan kita akan hakikat sebenarnya kita sebagai hamba yang serba kurang. 

Lapar. Dahaga. Letih. Mengantuk. 

Gembira dalam duka. Hiba dalam tawa. 

Ramadan adalah bulan yang memudahkan matahati kita untuk terbuka memandang setiap cacat cela yang kita ada. 

Ramadan juga membuka lapis pendengaran kita. Agar kita bisa mendengar apa sebenarnya yang terbuku jauh di pelusuk hati kita yang dalam. 

Ramadan turut membuka kembali kerinduan yang ada di sebalik hati kita. Rindu akan tanah seberang. Tanah abadi yang telah ditetapkan. 

Kerinduan yang menghangatkan kembali api cinta yang ada di qalbu. Cinta yang mengingatkan kita berulang kali. 

Berulang kali. 

Bahawa kita adalah pengembara yang hanya singgah di dunia ini sebentar sahaja. Di sini bukan negeri abadi. 

Ya Rabb. 

Semoga tuhan memberi cahaya kepada kita sebagaimana terangnya cahaya Mycena di dalam gelap.

Mencahayakan hati kita dengan limpahan kasih sayang dan rahmatNya. 

Supaya teguh iltizam kita untuk menjadi hamba. 
Supaya kukuh kaki kita melangkah mengikut geraknya.
Supaya tangan kita mampu bertahan untuk melaksanakan perintah. 
Supaya jasad kita ada kekuatan untuk menjauhi segala tegahannya. 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِيْ نُورًا وَفِي سَمْعِيْ نُورًا وَعَنْ يَمِينِيْ نُورًا وَعَنْ يَسَارِيْ نُورًا وَفَوْقِيْ نُورًا وَتَحْتِيْ نُورًا وَأَمَامِيْ نُورًا وَخَلْفِيْ نُورًا وَعَظِّمْ لِي نُورًا.

“Ya Allah, semoga Engkau jadikan dalam hatiku suatu cahaya, dalam pandanganku suatu cahaya, dalam pendengaranku suatu cahaya, dari arah kananku suatu cahaya, dari arah kiriku suatu cahaya, di atasku suatu cahaya, di bawahku suatu cahaya, di depanku suatu cahaya, di belakangku suatu cahaya dan limpahkanlah kepadaku cahaya.”

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

* Artikel ini di muat naik ke Facebook ambo pada 6 May 2020

Comments

Popular Posts