Biarkan yang jauh itu jaraknyaTapi tetap kita bersatu dan bersama
Covid 19
Malam ini berasa sebak bila diizinkan tuhan berada di masjid untuk solat isya. Iyalah, dalam keadaan banyak negara lain sudah mengharuskan solat di rumah sahaja kerana virus covid 19 ini, kami di Sungai Tong ini masih boleh hadir dan menunaikan solat jemaah.
Lebih sayu bila imam membaca surah al Mukminun.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ (٤) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦)فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ (٧) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٲعُونَ (٨) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٲتِہِمۡ يُحَافِظُونَ (٩) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡوَٲرِثُونَ (١٠)ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ (١١)
Firman Allah dalam surah Al Mukminun yang bermaksud:
"1. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman
2. (yaitu) orang-orang yang khusyu' dalam solatnya,
3. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,
4. Dan orang-orang yang menunaikan zakat,
5. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,
6. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki [budak-budak belian yang didapat dalam peperangan dengan orang kafir]; Maka Sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa.
7. Barangsiapa mencari yang di balik itu [zina, homoseksual, dan sebagainya] Maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas.
8. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.
9. Dan orang-orang yang memelihara solatnya.
10. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi,
11. (yakni) yang akan mewarisi syurga Firdaus. mereka kekal di dalamnya."
Ya Rabb.
Terasa lain sungguh mendengar alunan suara imam membaca surah ini.
Sayu.
Yang amat dalam.
Sedih.
Yang tiada hujung.
Setelah menunaikan fardu Isya berjemaah, kami turut melaksanakan solat hajat.
Berulang kali, Tok Imam memohon kepada tuhan supaya diangkat wabak ini daripada kita semua lewat doanya setelah solat hajat.
Dan kami mengaminkannya dengan penuh pengharapan.
Tak pernah terlintas langsung di benak fikir kita bahawa suatu hari nanti, 🕋 Kaabah akan lengang. Tiada orang tawaf di sekelilingnya.
Tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti, kita di suruh supaya jangan hadir ke masjid untuk solat berjemaah.
Walaupun ada kisah sebegini dalam lipatan sejarah islam yang pernah kita baca.
Namun untuk kita merasainya sendiri seumur hidup kita. Allah.
Ya Rabb. Ya Rabb.
Barangkali inilah peringatan buat kita semua.
Kita ini yang sibuk untuk membuktikan keislaman kita sehingga islam hanya menjadi pembuktian kosmetik semata-mata.
Islam pada rupa bukan pada rasa.
Islam pada nama bukan pada makna.
Islam pada kata-kata bukan pada gerak manusia kita.
Zahirnya seperti kita solat dan beribadah. Akan tetapi solat dan ibadah kita penuh cela. Tak diterima.
Hilang keikhlasan kita disebalik jubah yang berwarna. Hilang kejujuran kita sebagai hamba disebalik gambar yang dikongsi bersama.
Kita kelihatan seperti hamba yang bertuhan.
Namun hakikatnya kita masih bertuhankan nafsu. Masih penuh Aku dalam Dia.
Dan kita juga dipesan supaya membuat jarak di antara kita.
Social Distancing.
Supaya wabak ini tidak terus berjangkit.
Kita dinasihatkan supaya menjauhi tempat-tempat perhimpunan dan majlis keraian yang ada ramai orang.
Kita dipesan supaya tidak bersentuhan dan bersalaman.
Serta sentiasa membersihkan diri terutamanya tangan kita dengan sabun selama masa dua kali nyanyian lagu " Happy Birthday "
Namun ini juga saatnya untuk kita melaksanakan SOCIAL SOLIDARITY.
Ada jarak tapi tidak berpecah.
Jauh tapi tidak berbeza.
Berasingan namun masih bersatu.
Inilah saatnya untuk kita saling membantu. Menghargai manusia dan menyuburkan kemanusiaan.
Jom kita sama-sama saling membantu di antara satu sama lain.
#CORONAKINDNESS
( Adalah hashtag yang digunakan dengan semakin banyak di media sosial ketika ini untuk menceritakan kisah-kisah positif di sebalik wabak ini. Kisah manusia yang masih ada kemanusiaan. Kisah bagaimana manusia membantu manusia yang lain. )
Ya Rabb.
Lindungi kami semua daripada wabak yang menakutkan ini.
اللهم ارحم أمة سيدنا محمد، اللهم اغفر لأمة سيدنا محمد ، اللهم اهدِ أمة سيدنا محمد، اللهم أصلح أمة سيدنا محمد، اللهم انصر أمة سيدنا محمد، اللهم فرّج عن أمة سيدنا محمد، كرامة لسيدنا محمد صلى الله عليه وآله وسلم
Maksudnya :
Ya Allah
rahmatilah Ummat Sayyidina Muhammad,
Ya Allah
Ampunilah Ummat Sayyidina Muhammad ,
Ya Allah
berilah hidayah petunjuk kepada Ummat Sayyidina Muhammad,
Ya Allah
perbaikilah urusan Ummat Sayyidina Muhammad,
Ya Allah
bantulah Ummat Sayyidina Muhammad,
Ya Allah
berilah kelepasan dan pembukaan buat Ummat Sayyidina Muhammad sebagai kemuliaan kepada Sayyidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞
* artikel ini dimuat naik di Facebook ambo pada 15 Mac 2020
Comments
Post a Comment