Rasisme, kenapa makin marak apinya ?


Satu perkara betul yang tidak dapat kita nafikan yang berlaku sekarang ini di negara kita adalah semakin maraknya api perkauman. 

Dan perkara ini bukanlah isu yang berlaku di negara kita semata-mata, bahkan ia berlaku juga di negara lain seperti di negara Uncle Sam. 

Dalam dunia tanpa sempadan, bagaimana perkara ini boleh berlaku? 

Barangkali Barack Obama sedikit sebanyak menjawab persoalan ini ketika ditemubual oleh David Letterman dalam satu siri temubual di Netflix. 

David Letterman melalui satu soalan, bertanya kepada Obama tentang situasi semasa dimana ramai orang mulai mendapatkan kebenaran melalui medium Twitter. 

Obama menjawab dengan mudah dan jelas. 

" Jika kita mendapatkan segala maklumat tentang apa jua perkara  hanya melalui algoritma di dalam Hp kita, kita hanyalah mengesah dan memperbesarkan lagi bias atau kecondongan yang telah kita ada. 

Sebagai contoh, ada satu eksperimen telah dilakukan di Mesir ketika berlakunya revolusi di Dataran Tahrir beberapa tahun lepas. 

Mereka mengambil 3 pola pemikiran berbeza iaitu liberal, konservatif dan moderate. 

Kemudiannya 3 pola pemikiran ini diarahkan untuk menaip Egypt di ruangan carian Google mereka. 

Dan seperti dijangkakan, Google memberi mereka 3 jawapan berbeza. 

Bagi konservatif, bila ditaip Egypt akan keluar jawapan seperti ikhwan muslimin. 

Bagi liberal pula akan keluar jawapan Dataran Tahrir. 

Dan bagi golongan moderate, akan keluar pula jawapan tempat percutian di Sungai Nil.

Inilah yang berlaku sekarang samada di Facebook, twitter dan lain-lain platform media sosial, tempat di mana orang awam mengambil maklumat mereka. 

Media sosial dan aplikasi yang mereka gunakan hanya akan menunjukkan kecenderungan yang telah mereka ada berdasarkan algoritma yang dicipta di setiap aplikasi itu. 

Sehingga pada satu ketika, kita mulai sedar kita hidup didalam gelembung maklumat pilihan kita kerna sesungguhnya kita telah begitu dikuasai oleh media sosial,aplikasi dan juga Internet. 

Dan itulah sebabnya mengapa keadaan politik kita begitu kelihatan berpecah belah sekarang ini. "

Bila ambo mendengar pandangan Obama ini, sedikit sebanyak ada juga betulnya kan? 

Di dalam temubual ini, diselitkan juga beberapa babak sejarah dari perarakan di Selma di hari ahad yang berdarah.

Bloody Sunday in Selma. 

Satu gerakan dan juga perarakan ikonik yang memungkinkan Obama mencatat sejarah menjadi Presiden kulit hitam pertama di USA. 

( panjang dan menarik sejarah perarakan Selma ni. Ambo tak larat nak tulis dah 😀 ) 

Pada tahun 2015, Obama dijemput untuk menyampaikan ucapan di Selma, di atas Jambatan Edmund Pettus untuk meraikan ulangtahun 50 tahun peristiwa ini. 

Ucapan beliau di Selma ini, mungkin saja menjadi di antara ucapan terbaik yang pernah beliau buat.

Ada satu rangkap menarik dimana beliau berkata. 

" adalah satu idea yang telah dipusakai oleh semua rakyat Amerika turun temurun bahawa negara kita ini adalah negara yang sedang berkembang maju kearah yang lebih baik. 

Oleh kerna itu, kasih kita terhadap negara kita tidak memerlukan kita untuk menyanyikan nyanyian merdu terhadap segala kehebatan sejarah yang telah dicatat atau seni mengelak daripada berbicara tentang kebenaran yang boleh menyusahkan kita. 

Sekali sekala kita kena menganggunya dari keasyikan tidur yang lena dengan keikhlasan kita untuk bercakap tentang kebenaran, kejujuran kita untuk menegakkan yang hak serta ketabahan kita untuk melawan status quo. "

Silalah nikmati ucapan menarik ini dipautan ini. 

https://youtu.be/gvAIvauhQGQ

Dalam satu lagi temubual David Letterman ini dengan Jay Z, seorang ikon rap merangkap saudagar jutawan di Amerika, David seperti biasa memberi soalan agak provokatif kepada Jay Z. 

" Aku tidak puas hati dengan President Trump. Apa pandangan kamu?" 

Ambo jangka Jay Z selaku rapper akan menjawab dengan tegas dan agresif, namun jawapan Jay Z membuatkan ambo tersenyum. 

Beliau menjawab dengan perkataan yang baik dan tersusun. Mengesahkan lagi betapa beliau sememangnya seorang rapper yang intim dengan kata-kata. 

" Aku rasa, apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang baik. Keadaan sekarang memaksa kita semua untuk memulakan perbualan diantara kita, memaksa kita semua untuk kembali rapat dan kembali bekerjasama sesama kita. 

Mana mungkin kita boleh menyelesaikan masalah yang belum kita temui puncanya. Apa yang berlaku di era Trump adalah, beliau membongkarkan segala sisi hodoh yang masih ada tersembunyi di dalam diri kita semua. 

Sisi hodoh yang kita semua percaya ia telah lama hilang dan lenyap. 

Sekarang kita semua perlu berhadapan dengan sisi hodoh ini. Kita perlu ada perbincangan mendalam sesama kita dan tindakan susulan yang baik untuk menghadapi masalah ini. "

Wow. Menarik pandangan beliau ini. Tidak hairanlah beliau telahpun memenangi kalau tak silap lebih daripada 20 anugerah Grammy dan beliau juga antara selebriti jutawan di Amerika. 

Beliau pada asalnya hanyalah seorang anak bongsu daripada 4 beradik yang mana kedua ibu bapa beliau bercerai. Beliau juga pernah menjual dadah ketika remaja. 

Satu-satunya lagu beliau yang ambo minat adalah Empire state of mind. Lagu duet beliau bersama Alicia Keys. 

Sungguh, banyak manfaat aplikasi di Internet ini jika kita mampu untuk menggunakannya dengan baik. 

Jika tidak, jadilah kita seorang lagi manusia yang sungguh mudah untuk digoda.

Comments

Popular Posts