Melihat manusia memandang kemanusiaan

 

Dah lama beli buku Forbidden Lesson in a Kabul Guesthouse oleh Suraya Sadeed ni di Big Bad Wolf dulu. Hanya rm3. Baru sekarang ada rasa " raaa" nak baca. 

Ini buku ketiga ambo yang latar peristiwanya berlaku di Afghanistan. Yang pertama adalah the Kite Runner tulisan Khaleed Hosseini. Yang kedua adalah A Thousand Splendid Suns juga ditulis oleh Khaleed Hosseini. 
Ia tentang seorang perempuan yang berusaha untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada negara kelahirannya  melalui satu pertubuhan yang diasaskan olehnya sendiri. 

HTAC. Help the Afghan Children 

Suraya, penulis buku ini lahir di Afghanistan tapi kemudiannya berhijrah ke Amerika bersama suaminya, Dastagir selepas mendapat ijazah di Kabul University kerna pergolakan dan peperangan yang berlaku.

               Suraya dengan Oprah Winfrey 

Beliau merupakan anak kepada gabenor Kabul. 

 Pada suatu hari, hati kecilnya terbuka untuk kembali melihat dan berbakti kepada negara kelahirannya. 

Beliau menulis, 

" Sepanjang usia kedewasaan saya di tanah Amerika, semuanya hanyalah tentang mencari kebahagiaan dan tentang bagaimana menjadi seorang rakyat Amerika yang sempurna. 

Namun, sekarang ini, saya seolah olah baru bangun dari tidur yang amat panjang. Di sini, kami telah punyai rumah yang baik, dapat bercuti ke negara lain, dapat menggunakan kereta baru dan pelbagai lagi. Akan tetapi, saya tetap merasakan masih ada satu ruang kosong di dalam diri saya.

Ruang kosong yang amat besar.

Tinggal di Amerika memberikan saya pelbagai peluang untuk menikmati kehidupan. Namun dalam masa yang sama, saya merasakan saya telah kehilangan banyak perkara yang menjadikan kehidupan saya lebih bererti. "

Suami beliau, Dastagir, adalah orang yang memulakan bantuan kemanusiaan ini jauh sebelum beliau memulakan langkah manusiawi beliau. Taqdir tuhan, Dastagir dijemput kembali lebih awal.

Ia begitu memberi kesan kepada beliau sehingga beliau mengatakan,

" Apabila saya kehilangan Dastagir, barulah saya menyedari sesuatu. Bahawa saya mempunyai hati nurani. Dan ketika saya melawat Afghanistan buat pertama kali, keadaan negara yang teruk ketika itu membuatkan saya kembali mempunyai alasan untuk hidup selain daripada mencari kekayaan. "

Beliau bermula dengan usaha kecil namun dengan penuh semangat untuk membantu para wanita dan kanak-kanak di Afghanistan. Sehinggalah pada suatu hari apabila dokumentari ringkas yang dihasilkan beliau untuk mendapatkan bantuan disedari oleh Oprah Winfrey.

Oprah menderma sebanyak satu juta kepada badan kebajikan beliau dan HTAC mula di kenali ramai.

Dalam satu peristiwa, beliau ingin membuka sebuah sekolah khas buat para wanita kerana ketika pemerintahan Taliban ketika itu, wanita seakan tidak mendapat layanan yang sepatutnya.

Apabila beliau bertanya kepada seorang guru wanita di Afghanistan bernama Sabera tentang bagaimana untuk mengumpulkan guru bagi memulakan sekolah ini, Sabera hanya menjawab, guru yang ada sekarang hanyalah 12 orang dan mungkin jumlah pelajar yang mampu kita ambil hanyalah sekitar 200 orang perempuan.

Hanya 200? Balas Suraya.

Dengan tenang cikgu Sabera menjawab dengan bahasa Afghanistan beliau. 

" Suraya Jan,quatra quatra darya mesha." 

Yang bermaksud, Puan Suraya, sungai itu bermula hanya dengan titisan titisan air. 

Boleh saja menjenguk kerja buat mereka di pautan ini 

https://www.facebook.com/132513htac/

Sebaik membaca kisah beliau, ambo teringat ada satu lagi kisah seakan akan kisah Suraya ini yang diceritakan oleh Rajeev Peshawaria di dalam buku tulisan beliau, Too Many Bosses, Too Few Leaders yang ambo baca beberapa tahun lepas. 

Tentang Jacqueline Novogratz. 

Jacqueline ketika itu baru sahaja bekerja di Chase Manhattan Bank apabila beliau diarahkan untuk menyertai pasukan Credit Audit. Dengan menyertai pasukan ini, beliau berjalan ke serata dunia untuk menyemak kualiti loan bank. 

Ketika inilah beliau pergi ke negara2 miskin dan melihat betapa besarnya jurang di antara orang kaya dan orang miskin. Dan bagaimana kemiskinan itu menyebabkan kehidupan manusia menjadi semakin teruk. 

Sebaik balik ke Amerika, beliau memberi idea kepada bos beliau untuk memberikan loan kepada orang miskin supaya mereka mampu keluar dari kepompong kemiskinan mereka. 

Idea Jacqueline ditolak mentah mentah dengan alasan orang miskin tidak akan pernah mampu untuk membayar pinjaman. 

Setelah berfikir, Jacqueline memutuskan untuk meletak jawatan di bank tersebut dan meninggalkan kerjaya elit beliau. 

Beliau menyertai African Development Bank Dan terus bergerak menuju Africa. 

2 tahun pertama sangat mencabar. Beliau diancam dengan pelbagai ancaman, terpaksa menghadapi wabak malaria yang membawa maut, kekangan bahasa dan juga tiadanya kemudahan Internet. 

Beliau bermula di Rwanda. Membuka bank untuk orang miskin di situ dan membantu sekumpulan perempuan untuk membangunkan kedai bakeri mereka. 

Menyedari pentingnya ilmu dan pengalaman, beliau mengambil MBA dari Stanford dan menyertai Rockefeller Foundation selama 9 tahun sebelum beliau menubuhkan Acumen Fund. 

Antara perkara awal yang beliau lakukan dengan Acumen adalah berkenaan wabak malaria. 

Ketika itu, wabak ini masih melanda Africa. Jacqueline mendapat tahu satu syarikat di Jepun iaitu Sumitomo Chemical Company, telah berjaya mencipta satu kelambu yang anti serangga serta mampu bertahan sehingga 5 tahun. 

Beliau dan pasukan Acumen kemudian mendapati ada satu syarikat kecil di Africa bernama A to Z Textile yang berpotensi untuk menghasilkan kelambu dengan teknik dari Jepun itu. 

Beliau membimbing syarikat ini dari awal dan memberikan mereka loan untuk menghasilkan kelambu. 

Akhirnya syarikat kecil ini dapat membeli mesin canggih dan menghasilkan kelambu itu. Bukan setakat itu, mereka juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan buat 7000 orang perempuan Africa yang berjaya menghasilkan 16 juta kelambu setahun. Secara tidak langsung mereka berjaya menyelamatkan jutaan nyawa daripada menempuh kematian akibat malaria. 

Boleh sahaja menjenguk beliau di sini. 

https://www.facebook.com/JacquelineNovogratz/

Cerita Jacqueline ini seakan sama dengan apa yang dibuat oleh pemenang hadiah Nobel keamanan dari Bangladesh, Muhammad Yunus yang mengasaskan Grameen Bank khusus buat orang miskin. 

Oooh ya Gandhi juga begitu.

Beliau boleh sahaja menjadi peguam terkemuka di England atau Afrika, namun beliau akhirnya memilih untuk menjadi Gandhi.

Ketika menaiki keretaapi di Afrika di awal permulaan beliau sebagai peguam, dengan berpakaian suit lengkap, beliau berada di gerabak kelas pertama. 

Namun kemudiannya beliau diarahkan untuk beralih ke gerabak kelas ketiga kerana kulit beliau berwarna hitam. Selaku peguam muda, beliau mempertahankan hak beliau untuk berada di gerabak kelas pertama.

Akhirnya beliau dibuang keluar dari keretaapi secara kasar.

Inilah di antara momen yang memberi kesedaran buat Gandhi sehingga beliau bangkit memperjuangkan hak bagi rakyat India dengan meninggalkan kerjaya elit beliau dan bergelumang dengan susah payah serta derita rakyat terbanyak. 

Setelah beliau menjadi seorang tokoh penting di India, beliau tidak lagi mengenakan pakaian suit beliau dan berpakaian biasa sebagaimana rakyat India.

Ada satu cerita tentang gerabak ketiga dan Gandhi namun sanad dan kesahan cerita ini tidaklah dapat dipastikan. 

Mahatma Gandhi setelah menjadi tokoh ikonik di India dikatakan tetap menaiki keretaapi di gerabak kelas ketiga.

Bila ditanya beliau kenapa berada di gerabak ketiga sedangkan beliau adalah Gandhi dan sepatutnya berada di gerabak kelas pertama.

Beliau hanya menjawab dengan mudah.

Kerna tiada kelas keempat!

Comments

Popular Posts