Fatin : Sebuah kisah cinta


Pada ketika ambo membaca kisah ini, terus saja kedengaran suara M nasir berdendang lagu Nurnilamsari. Kemudiannya Eric Clapton menyambung pula dengan alunan Tears in Heaven. Di akhiri puisi qad kafani ilmu rabbi yang di lagukan dengan cukup merdu. 

Begitulah..... 

Akhir2 ini kita dilimpahi berita tentang lebatnya LGBT, parahnya krisis identiti, rosaknya akhlak muda mudi serta cinta di antara manusia yang semakin tidak bererti, dan kemudian tuhan menemukan kita dengan kisah ini. 

Sebuah kisah cinta yang memberi kita seribu makna sejuta rasa. 

Tuhan, 
Sambutlah fatin sebagai seorang hambamu yang kau kasihi. Ampuni dosanya. Tempatkan beliau bersama para kekasihmu.

Sesungguhnya KasihMu pada beliau membuka pintu hati kami. Menyegarkan cinta kami padamu. 

Tuhan, 
Kurniakan kesabaran pada suami beliau, Tuan Azzam serta keluarga mereka. Berkatilah mereka kerna sesungguhnya mereka telah menunjukkan kami contoh yang sukar untuk kami ikuti. 

Di jaman Edan ini, ketika media sosial begitu mempengaruhi, kita disuakan dengan kehidupan penuh kosmetik. Indah hanya di dinding maya tapi realitinya begitu berbeda. 

Kita dibawa2 untuk terikut dengan budaya Hollywood, Bollywood atau Kpop yang mungkin kelihatan begitu romantis dan bersemut dalam hubungan sesama manusia. 

Sehingga kita lupa dan tenggelam di bawa arus bersemut itu terutama kpd mereka yang masih belum halal hubungannya. 

Sesungguhnya kita semua telah diperingatkan bahawa jodoh dan ajal itu suatu perkara yang telah pun maktub. Tertulis di Luh Mahfuz. 

Soalnya, bagaimana untuk kita meraihnya. Melaui cara yang halal atau haram sedang ia telah lama terukir di sana. 

Kesukaran meraihnya melalui jalan halal akan menatijahkan barokah. Keseronokan mendapatkannya melalui jalan haram akan menatijahkan kesukaran di kemudian hari. 

Kerna sesungguhnya sebuah ikatan yang termeterai itu, tidak hanya di sahkan melalui tandatangan pada sehelai kertas. 

Namun ia diikat melalui ikatan tauhid dan sebuah kepercayaan kepada keEsaan tuhan. 

Ia dikunci melalui keindahan fiqh peraturan dan undang2 tuhan yang maha bijaksana yang memahami bagaimana sebenarnya peel perangai hamba makhluknya. 

Dan ia diinsuranskan melalui akhlak peribadi para nabi radliallaahu anhum sehingga ikatan itu tidak bisa terlerai dari dunia membawa ke sorga.

Sekali tangan seorang lelaki hamba tuhan itu terbatal wuduknya memegang seorang perempuan, suri hati hidupnya, hawa ruhnya, akan di gengamnya penuh erat. 

Tidak longgar yang mungkin terlepas. Tidak juga ketat menyusahkan. 

Tapi di genggamnya tangan hawanya itu dengan genggaman quran mengikut contoh manual genggaman para nabi radliallaahu anhum sehingga sampai ke sorga impian apapun cobaan mendatang. 

Begitu cinta yang bererti bagi seorang Adam dan Hawa. Cinta yang di dalamnya adanya tuhan. Cinta yang mekarnya mengikuti panduan rasul penghulu sekalian anak adam. 

Sayyidina Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam. 

Bukanlah sesekali seperti cinta yang diperlihatkan di dada media yang sering terisi dan terikut nafsu duniawi. Cinta yang tersenyum hanya di dunia maya tapi sedu sedan esak tangis berjalan di dunia fana. 

Pada akhirnya fahamlah kita bahawa hidup kita ini pun sebenarnya adalah sebuah kisah cinta.

Cinta di antara seorang hamba dengan tuhannya.

Setiap pengalaman manis atau pahit, 
setiap ujian senang atau sukar, 
setiap kenangan gembira atau sedih, 
setiap kesakitan yang tak tertanggung, 
setiap derita yang tak pernah terungkap, 
setiap senyuman yang membahagiakan, 
setiap ketawa yang membawa seribu makna, setiap anugerah yang indah serta 
setiap musibah tak terduga, 
semuanya hanya membawa kita untuk memahami akan suatu hakikat.

Bahawa cintaNya pada kita teramat besar dan dalam. Semua yang tercatat dalam buku taqdir kita adalah hanya caraNya membawa kita kembali kepadaNya.

Senyumlah

Allah itu tetap ada
Rezeki kita telah ditentukannya

Berjalanlah di dunia seperti kekasihNya yang mulia Sayyidina Rasulullah shallallāhu alaihi wassalam. 

InsyaAllah, betapa sukar pun perjalanan itu, janjinya adalah keindahan dan kesenangan di sorga idaman. 

* penulis sebenarnya tidak pun sebaik apa yang ditulis. Mohon doakan ambo sekali ye. Yuk, terus saja kita berselawat

.۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

Comments

Popular Posts