Shaq Vs Kobe - Erti sebenar Frenemy
Shaq vs Kobe -
erti sebenar Frenemy
Apabila makhluk sebesar Shaquile o Neal menangis ketika program mengingati Kobe, kita juga turut terusik.
Shaq menangis bila mengenangkan rakannya Kobe Bryant dan anaknya Gigi yang meninggal dunia akibat kemalangan helikopter beberapa hari lepas.
Shaq dan Kobe merupakan rakan sepasukan di kelab LA Lakers. Gandingan mereka berjaya mendapatkan 3 kejuaraan liga.
Kemudian mereka bergaduh. Sehingga Shaq keluar dari LA Lakers.
Pergaduhan di antara mereka sangat epik dengan tuduhan yang saling berbalas di antara mereka. Tiada yang mahu mengalah. Mereka adalah dua alpha. Sangat dominan. Sukar mengaku kalah.
Namun di antara pergaduhan itu, mereka masih saling menghormati di antara satu sama lain.
Pedih. Menyakitkan. Kata Shaq.
Kerana kali terakhir beliau bercakap dengan Kobe adalah pada tahun 2016.
Ketika itu perlawanan terakhir Kobe.
Ko dapatkan aku 50 mata! Cabar Shaq pada Kobe.
Dan Kobe menerima cabaran Shaq. Dia mendapat 60 mata!
Kini, mereka sudah tidak boleh menyindir di antara mereka.
Shaq punyai 4 kejuaraan. Kobe mendapat 5 kejuaraan.
Mereka lagenda NBA.
Ketika Kobe berusia 17 tahun dan baru menyertai LA Lakers aku bertanya beliau. Kata Shaq.
Kobe, apa ko nak daripada basketball 🏀 Ni?
Jawab Kobe sangat ringkas.
Aku ingin menjadi pemain terbaik dunia dan di luar gelanggang aku ingin menjadi lebih terkenal daripada Will Smith
Shaq hanya tersenyum.
Walaupun ketika mereka saling bersaing dan bergaduh namun ada beberapa perkara yang membuatkan mereka kembali bertaut.
Shaq membuka cerita.
Kami sama-sama dicalonkan menjadi MVP dan Kobe mendapatkan anugerah itu. Kemudian Kobe melihat kepada anak-anak aku yang berada berhampiran dengan aku dan memberikan anugerah itu kepada anak aku, Shareef O Neal, aku tahu pada saat itu betapa berharganya ikatan kami berbanding permusuhan yang kami ada.
Shareef O Neal, anak Shaquile sekarang ini merupakan remaja meningkat naik dalam NBA.
Selepas berlaku kemalangan Shareef membuka cerita di Twitter beliau.
Sebenarnya pagi tadi uncle Kobe ada bertanya khabar pada aku di insta. Kami sempat bercakap seketika. Tak sangka itulah perbualan terakhir kami.
Kobe sentiasa memberi galakan dan memberi tunjuk ajar kepada Shareef. Anak kepada musuh beliau, Shaq.
Pesan Shaq
Bila berlaku perkara ini, baru aku tahu betapa berharganya untuk bertanya khabar kepada kawan kita. Dan itu membuatkan aku sakit. Rasa teruk apabila mengingati bahawa kali terakhir aku bercakap dengan Kobe adalah pada tahun 2016.
Di antara kami ada 9 kejuaraan. Aku selalu bergurau dengan Kobe.
Bayangkan jika kita tidak bergaduh dan terus bergandingan. Agaknya berapa puluh kejuaraan yang akan kita dapat?
Aku percaya dan yakin tidak akan ada lagi gandingan sehebat aku dan Kobe.
Kami bergaduh kerna terlalu mengejar kemenangan sehingga kami lupa kepada ikatan persaudaraan di antara kami.
Kini beliau sudah tiada dan barulah aku mengerti apa ertinya persaudaraan ini.
Hargailah rakan kamu.
Kisah Shaq dan Kobe merupakan kisah kita.
Kisah bagaimana kita dan rakan kita saling cuba untuk menjadi seorang yang lebih baik sehingga terkadang melupakan ikatan yang kita ada.
Rakan kita menjadi pemberi semangat kita.
Rakan kita juga yang menjadi musuh yang mencabar kita menjadi lebih baik.
Hakikatnya samada mereka itu adalah rakan atau musuh kita, mereka adalah orang yang berada bersama kita di sepanjang perjalanan hidup kita.
Dan jika kita beruntung, kita akan mendapat frenemy
Friend + enemy
Comments
Post a Comment