Pesan pada diri

. Mi, susah betul sekarang ni. Kadangkala rasa alone je walaupun ada anak bini. Banyak sungguh masalah sekarang. Ekonomi adalah salah satu punca terbesar. Politik pun satu hal. Banyak benda tertangguh ni. 

Beberapa hari lepas, ambo tiba2 dapat mesej begini drpd seorang kawan. 

Oooo macam tu ka. Ok ambo faham dah. 

Begini lah tuan jawab ambo. 

Ambo sekadar berkongsi deh. 

Setiap dari kita ini dicipta sebagai seorang hamba Tuhan. Fitrah kita begitu.

Terkadang bila kita sibuk mencari serba sedikit rezeki di dunia ini, kita secara tidak sengaja mengabaikan tanggungjawab kita terhadap akhirat. 

Kerna itu hati kita menjadi kosong dan tak menentu. 

Bila kita rasa tak menentu kita cepat je buat kesimpulan bahawa kita sedang bosan dan letih. 

Kita cuba berkaraoke. Masa sedang menyanyikan lagu Tun tuang ke, lagu Aiman Tino ke dll kita rasa seronok, lepas tu kita kembali rasa tak tenang. 
Kemudian kita pergi bercuti. Masa bercuti dan melancong kita seronok, lepas tu kembali kita merasai gundah gulana itu. 
Dan kita buat macam macam lagi perkara untuk mengatasinya. Akhirnya kita sedar kita masih lagi merasa tak tenang. 

Kenapa? 

Kerana fitrah hati kita itu, ia hanya tenang bila mengingati tuhan. 

Ia gembira bila kita melaksanakan perintah Tuhan. 

Ia menjadi cekal bila kita berpegang teguh dengan Tuhan. 
Ia  menari gembira bila kita mengalunkan irama al Quran. 
Bila kita terlalu sibuk dengan tuntutan dunia, terkadang sampai solat kita tinggalkan. Hati kita menjadi hitam.

AlQuran tidak sempat kita baca. Hati kita semakin hitam. 

Masjid jarang sekali kita pergi kecuali pada hari Jumaat. Hati kita semakin malap cahayanya. 
Hati yang semakin gelap menyebabkan mata kita juga semakin rabun. Rabun terhadap kebenaran. 

Telinga kita juga semakin  pekak terhadap kebenaran. 

Kawan2 kita pilih  semuanya jenis bersemangat untuk dunia dan kita tinggalkan semua kawan2 akhirat kita. Sehingga tugas kita sebagai seorang hamba itu sudah tidak lagi menjadi keutamaan. 

Bila ada masalah kita sudah malu untuk berdoa. 

Kenapa? 

Kerana kita sedar kita bukan hamba yang baik. 

Kerana kita sedar banyak perkara yang sering kita tinggalkan tanpa sengaja. Banyak amanah kita khianati, banyak larangan kita buat tanpa sesali. 

Kita hanyalah Muslim pada nama. 

Kemudian bila semuanya tak menjadi baru kita melihat kepada Tuhan. 

Kita buat solat dhuha untuk mendapat lebih banyak rezeki. 

Kita baca surah tertentu demi khasiatnya. 

Kita bertaubat kerana itu sahaja cara kita lihat supaya kita dapat keluar daripada masalah. 

Kita masih melakukan sesuatu kerana nafsu bukan ikhlas untuk mencintai Tuhan yang satu. 

Lepas itu kita amalkan teknik nabi. 

Supaya kita meraih lebih banyak untung duniawi. Pelbagai teknik dan amalan sunnah kita buat supaya hidup kita semakin bererti. 

Sedangkan sebenarnya kita semakin jauh dengan nabi. Kita kelihatan seperti beramal dengan sunnah nabi tapi jelas tiada nabi dalam diri. 

Tuan, 

Rukun islam semuanya berkait dengan amalan. Syahadah,solat,puasa,zakat, dan haji. 
Pada setiap amalan ada kaedah, teknik, konsep dan pelbagai disiplin ilmu yang perlu dipelajari. Dengan beramal barulah akan dapat keyakinan iman untuk terus melangkah sebagai hamba Tuhan. 

Tidak boleh tidak, seorang muslim adalah seorang hamba yang beramal. Menekuni amalnya dan istiqamah memeliharanya sehingga sampai ke tahap ihsan. 

Kerana itu pentingnya berguru,mengaji ilmu agama dan beramal dengannya . Kerna ilmu yang mengingatkan kita kepada tuhan itu adalah cahaya. 

Cahaya itu pula adalah tentera Allah yang apabila masuk ia ke dalam hati ia akan menjaga dan mempertahankan negara hati itu daripada serangan tentera kegelapan dan kezaliman syaitan serta keakuan ego diri sendiri. 
Selagi kita berpegang teguh untuk mencari kebenaran dan apa yang benar InsyaAllah kita akan dipermudahkan oleh Allah. 

Kerana kebenaran itu tidak pernah berpihak. 

Bila adanya kebenaran maka hilanglah kebatilan.

Sebanyak mana pun dosa kita, Allah swt itu adalah Tuhan yang maha pengampun. Hadap lah Allah dengan istighfar dan pohonlah ampun darinya. 

Berzikirlah. 

Ingatlah kepada Allah walaupun ketika kita berzikir menyebut namanya hati kita masih lalai dan leka dengan dunia. Kerana ulama berpesan lalai ketika berzikir mengingati tuhan itu lebih baik daripada langsung tidak berzikir mengingatinya. 

Bila kita menunaikan hak kita sebagai seorang hamba, InsyaAllah akan zahir ketenangan di dalam hati kita. Akan bersinar terang cahaya kehambaan pada wajah dan mata kita. 

Adapun bertangguh itu pula memanglah suatu perkara yang tidak baik. 

Namun Adam Grant seorang professor di the Wharton School of the University of Pennsylvania dalam bukunya Original, berhujah mengatakan bahawa bertangguh itu juga kadangkala menghasilkan karya yang lebih baik dan original. 
Ini kerana bila sesuatu kerja itu tertangguh, maka ada ruang untuk kita berfikir secara lebih dalam, teliti dan kreatif terhadap sesuatu perkara. 

Sungguh menarik apa yang dihujahkan dalam buku itu.  Alhamdulillah ambo pun baru habis baca buku tu.

Carilah untung di dunia sebaik dan sebanyak mungkin namun jangan lupa kehidupan akhirat yang kekal abadi. 

Ingatlah. 

Kita ini seumpama hidup di zaman nabi Nuh alaihissalam yang mana kita semua sedang menghadapi a flood of distraction. 
Terlampau banyak perkara yang mengganggu kita daripada mengingati tuhan sehingga lemas dan hampir tenggelam kita di dalam flood of distraction ini.

Bagi mereka yang diizinkan tuhan untuk memahami apa yang berlaku, mereka terus berzikir dan tetap berpegang teguh mengingati tuhan pada setiap perkara. 

Kerana mereka faham zikir dan ingat kepada Tuhan adalah asas untuk membina sebuah bahtera penyelamat untuk mengharungi fitnah akhir zaman.

Ketika nabi Nuh alaihissalam mula membina bahtera baginda, baginda diejek dan diperbodohkan. 

Akan tetapi baginda terus membinanya dengan penuh sabar kerana mengetahui apa yang akan datang melanda.

Dan kita juga telah diberitahu apa yang akan datang melanda kita. 

Banjir itu  sememangnya sebuah bencana dan kadangkala ianya juga sebuah anugerah. 

Bila hujan lebat tiba,
Kita mulai gundah gulana,
Banjir air membawa bencana,
Namun lupa kita.
Banjir yang lebih berbisa,
Banjir dosa.
Yang hampir lemas kita Didalamnya.

Ya, banjir dosa,
Kerna sememangnya kita,
Golongan pelupa dosa.

Moga banjir dosa.
Surut dengan cahaya.
Beredar ia dengan getar cinta
Sayyidina almustafha.
Yang kasihnya sentiasa berada
Pada jiwa merdeka,
Seorang hamba.

Hingga hujan yang tiba
Tidak lagi memberi bencana
Kerna ia hujan kasihNYA
Yang menyuburkan cinta
Yang membenihkan pahala
Larut pula kita insya Allah..
Dalam banjir cinta...
 
اللَّهُمَّ صلى وسلم على سيدنا محمد وعلى ال سيدنا محمد 

Kawan ambo kemudian reply hanya dengan smiley 😀 dan ibu jari 👍

Jika anda membaca sehingga habis, anda sememangnya sa orang yang penyabar 😀.

Alhamdulillah. Trima kaseh.

Comments

Popular Posts