Lensa

Lensa 

Dengan tularnya gambar adik Syukor bermain dengan kerbau, kambing dan bermesra dengan alam menyebabkan kita terfikir mengenai pelbagai perkara. 
Terutamanya adalah tentang bagaimana jurufoto itu mampu melihat gambaran indah sebegini? Bagaimana mereka mampu merakam momen bersejarah ini? Apa yang mereka buat sehingga mereka mampu mengabadikan detik menarik sebegini. 
Mungkin sedikit sebanyak kita boleh belajar sesuatu dari tularnya gambar2 adik Syukor ini. 

Pertamanya adalah mengenai pencarian. 

Ya, mencari. 

Jurufoto adalah pencari kecantikan. Mencari momen yang indah untuk dirakam. 

Dan mereka yang mencari cari, pasti akan menjumpai dengan apa yang dicari olehnya. 

Kedua adalah dimensi penglihatan. 

Jurufoto adalah mereka yang sudah belajar melihat melalui ratusan malah ribuan keping gambar yang mereka ambil, tentang bagaimana untuk melihat. Orang biasa mungkin hanya mampu melihat sepohon pokok hijau yang biasa. 

Namun, jurufoto melihat dengan lebih intim. 

Bagaimana sepohon pokok yang tua dan semakin di mamah usia itu, berada di tepi jalan, di kelilingi serangga, diteduhi langit, di sinari matahari, di basahi hujan serta setiap hari diziarahi manusia yang lalu lalang tanpa menyedari kewujudannya di situ. 
Ketiga adalah lensa

Memang kamera yang mahal dan canggih mungkin menjadikan gambar itu lebih menarik kerna lensanya lebih baik. 

Akan tetapi lensa sebenarnya bukanlah kamera itu namun seketul daging bernama hati. 

Mata hanya mampu melihat apa yang ada. Namun bila hati merasai keindahannya, maka gambaran itu akan menjadi jauh lebih indah. Seakan akan hati itu mampu untuk berhubung dengan alam. 

Connected. 

Mata hanya akan mampu melihat apa yang zahir kelihatan namun hati yang telah terhubung secara automatik dengan alam mampu melihat betapa hidupnya alam ini. 
Keempat adalah cahaya

Melihat adalah tentang cahaya. Merakam gambar juga sebahagian besarnya adalah tentang cahaya. 

Bila kita membelakangi cahaya maka gambaran yang kita lihat menjadi suram dan samar. Jika tiada cahaya, apapun tidak akan kelihatan. 

Akan tetapi jika kita berada betul dengan arah sinaran cahaya, maka gambaran apa yang kelihatan akan menjadi jauh lebih indah dan cantik. 

Kehidupan ini seluruhnya diselubungi cahaya. Kegelapan hanya berlaku bila cahaya itu terhalang oleh sesuatu. 

Kelima adalah tentang edit gambar / post process. 
( ilham tambahan dari Ustak Muhammad Hafiz Zainal Abidin) 

Gambar yang sedia cantik itu selalunya tidak sempurna. Kerna itu, jurufoto yang mahir, tahu di mana tempat yang memerlukan sedikit pengubahsuaian. 

Pengubahsuaian itu pula bergantung kepada seni gambar yang ingin dipersembahkan, makna kecantikan yang difahami jurufoto itu serta ilmu yang di punyai olehnya. 

Hasil gambar akhir yang dipersembahkan adalah gabungan gambaran yang kelihatan pada mata, lensa hati dan ilmu yang dimilikinya. 

Apa yang terzahir di hati kemudiannya zahir dalam bentuk gambar sebagaimana apa yang terzahir pada fizikal dan perangai manusia adalah apa yang terbuku di hatinya.

Begitulah. 

Sebenarnya bukan semua orang mampu melihat dan menghargai keindahan serta kecantikan. 

Kerna untuk melihat sebuah kecantikan yang memberi erti ada beberapa peringkat yang perlu kita lalui. 

Pertamanya adalah kosong atau mengosongkan. 

Kita perlu membuang semua gambaran atau perkara buruk yang berada di dalam lensa utama kita iaitu hati. 

Ianya seumpama kita ingin memakai minyak wangi. Sebelum memakai wangian,terlebih dahulu kita kena membuang semua kotoran serta bau busuk. Kemudiannya barulah kita boleh memakai wangian. 

Memakai wangian tanpa terlebih dahulu membuang bau busuk adalah perkara yang sia-sia. 

Keduanya adalah memasukkan yang baik dan indah. 

Semua perkara memerlukan latihan. Begitu juga untuk melihat perkara yang indah kita perlu melatih lensa hati dan mata untuk melihat keindahan. Khususnya melalui gambaran daripada perakam yang berpengalaman. 

Ketiganya adalah harmoni. 

Kita tidak boleh lama hanyut dalam menikmati keindahan itu sendirian.

Kita perlu belajar bagaimana untuk menghargainya.

Belajar bagaimana untuk menikmati keindahannya dengan tepat dan kemudiannya belajar bagaimana untuk berkongsi keindahan itu supaya orang lain juga mampu untuk sedikit sebanyak merasai betapa indahnya gambaran itu. 

Belajar bagaimana untuk mengharmonikan kecantikan gambaran pada mata, keindahan rasa pada hati dengan realiti kehidupan yang sebenar.

Pada akhirnya, setelah mampu melihat gambaran yang indah ini, semoga Hati dan lidah kita dengan izinNya dapat mengucapkan ;

Subhanallah. Maha suci Allah. 

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. 

Terima kasih Ya Allah. 

Sebagaimana indahnya gambaran yang kau izinkan kami untuk melihatnya, indahkan lah juga diri kami, agama kami dan hidup kami ini dengan cahaya dan kasih sayangMu. 

**** gambar ambo ambik petang semalam.. Takde la comel sangat kan. Tapi boleh la. 😝🤣

Comments

Popular Posts