Gigitan cinta Luis Suarez

"... Mi, tak ada cerita / tulisan baru ke?" 

Tiba-tiba seorang kawan ambo bertanya lewat mesej whatsapp. Kebetulan ada beberapa kawan sekampung ambo juga bertanya hal yang sama.

" Allah. Tak dan nak menulis la sekarang ni, sejuk sangat."

Jawab ambo sambil berjenaka. Hehe 😂 

Beberapa hari lepas dengan izin tuhan, alhamdulillah, ambo membaca sebuah buku tentang Luis Suarez. 

Penggigit bersiri. Budak nakal dari Uruguay. Juga merupakan diantara penjaring gol yang sangat prolifik mewakili pasukan Barcelona. Sebelum itu mewakili pasukan Liverpool di England. 

Di waktu ini, ketika musim hangat dengan angka 18 dan 19, juga hangat dengan aura kaabah serta vitamin, ada baiknya ambo bercerita sedikit tentang Luis Suarez. 

Kerna, apapun imej beliau yang kita kenali sebelum ini, beliau memulakan bab dalam buku biografi beliau ini dengan menegaskan bahawa This is a Love story. 

Kenapa begitu?

Beliau berasal dari keluarga miskin. Ibu bapanya bercerai.

Namun, dengan bakat yang beliau ada, beliau diterima masuk ke sebuah kelab bola sepak di Uruguay, iaitu Nacional ketika umur beliau baru 14 tahun. 

Ketika berumur 15 tahun, beliau berjumpa dengan seorang perempuan yang dua tahun lebih muda daripada beliau di sebuah kelab malam.

Perempuan itu bernama Sofia Balbi.

Perkenalan itu mencetuskan permulaan kepada kisah cinta mereka. 

Bak kata Ed Sheeran

And I'm thinking 'bout how 
people fall in love in mysterious ways
Maybe just the touch of a hand

Selepas itu, Luis akan sentiasa cuba untuk berjumpa dengan Sofia di rumah beliau.

Beliau dikatakan sanggup untuk meminjam duit dari pengarah kelab itu sebagai tambang bagi menziarahi Sofia Balbi yang berada lebih kurang 40 kilometer dari kelab tempat beliau bermain. 

Ada juga cerita mengatakan bahawa beliau akan mengutip apa sahaja duit yang beliau jumpai di tengah jalan semata-mata untuk berjumpa Sofia. 

Sofia Balbi datang dari keluarga yang agak berada. Namun kedua ibu bapa beliau sangat terbuka menerima Luis Suarez, seorang pemuda miskin yang kayanya hanya dengan bakat bola sepak sahaja ketika itu. 
Ketika ini, Luis sudah bermain banyak perlawanan dengan kelab Nacional, namun beliau hanya mampu menjaringkan hanya beberapa gol. Lantas pengurusan kelab memberi beliau amaran. 

" Laksanakan tugas anda. Jaringkan gol atau anda kami terpaksa lepaskan." 

Luis Suarez ketika itu hanyalah remaja yang baru mengenal dunia. Selalu tidur lewat dengan berhibur di kelab. Tidak mengambil serius latihan dan sentiasa sambil lewa dalam permainan. 

Beliau bertuah. 

Sofia lah yang memberi beliau semangat dan galakan. Sofia juga yang membetulkan tabiat dan cara hidup beliau. 

Ketika rakan lain keluar berhibur, beliau berada di rumah Sofia. Bersama keluarga Sofia. 

Ketika kawan beliau yang lain semakin hanyut, beliau semakin fokus kepada bola sepak hasil nasihat dan galakan dari Sofia. 

Beliau hanya suka bermain bola dan tidak gemar belajar sehingga terpaksa mengulang periksa beberapa kali. 

Sofia jugalah yang memberitahu beliau. 

" Luis, kamu ini bukanlah bodoh, tapi hanya pemalas." 

Kemudian Sofia akan mengajar beliau dan memastikan beliau membuat semua kerja rumah. 

Itu menjadi motivasi beliau untuk bekerja keras membaiki permainan beliau dan mendapatkan lebih duit. Ini kerna, beliau tidak hanya ingin menziarahi dan berada di rumah Sofia semata-mata. 

Beliau ingin membeli pakaian yang lebih baik untuk berjumpa Sofia. Beliau ingin membelikan hadiah buatnya. Beliau ingin membawanya keluar. 

Bila berlaku krisis kewangan dunia, keluarga Sofia terpaksa berpindah ke Barcelona, Sepanyol.

Berita ini betul-betul menguji Luis dan Sofia. Mereka terpaksa berpisah. Ketika hari Sofia berlepas ke Sepanyol, Luis menangis. 

Sofia memberikan beliau sebuah buku yang mengandungi tulisan beliau berkenaan lirik beberapa buah lagu. 

Luis membacanya sambil diiringi tangisan. Fikir beliau, itu mungkin kali terakhir beliau berjumpa Sofia. 

Pada umur 18 tahun, Luis mendapat tawaran ke kelab Groningen di Belanda. Beliau terus menelefon Sofia. 

Sofia ketika itu berumur 16 tahun, bersetuju untuk bersama beliau di Belanda.

Minggu pertama, beliau sudah menerima amaran daripada pengurus kelab kerana berat badan beliau.

" Turunkan berat badan kamu atau lupakan bola sepak."

Sofia lah yang kemudian menjaga diet pemakanan beliau hingga beliau mampu menurunkan berat dalam jangka masa yang ditetapkan kelab. 

Apabila beliau ditimpa masalah terutama ketika episod gigitan beliau dan keganasan beliau di atas padang, Sofia jugalah yang menjadi kaunselor beliau, yang mampu menjinakkan beliau. 

Bila beliau gelisah kerna tidak mampu menjaringkan gol, Sofia lah yang akan memberikan beliau semangat dan mengembalikan keyakinan di dalam diri beliau. 

Beliau mengakui sifat ganas beliau di atas padang berakar umbi dari sikap beliau yang tidak boleh menerima kekalahan. Beliau sangat bencikan kekalahan. 

Bila pasukan beliau kalah dan beliau bermain teruk, maka itu mencetuskan sesuatu di dalam diri beliau untuk menjadi semakin ganas. Di luar kawalan. 

Beliau memberi nasihat di dalam buku ini. 

" Carilah jalan untuk melepaskan kemarahan dan apa yang terpendam di dalam diri anda. Dengan melepaskan perasaan tidak elok itu, sebahagian tekanan di dalam diri anda akan pergi, minda akan jelas dan kita akan berasa lebih baik. Jangan simpan perasaan itu terperangkap di dalam diri anda. Dan jangan cuba menghadapinya dengan bersendirian. "

Dengan nasihat Sofia, beliau menemui orang yang tepat untuk mengatasi masalah itu. 

Luis Suarez adalah nama besar di dalam bola sepak. 

Di antara pemain terbaik dunia. Pemenang kasut emas Eropah. Pemenang anugerah Pichichi di Sepanyol mengalahkan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. 

Namun, tanpa Sofia Balbi beliau mungkin menjadi salah seorang penghuni penjara di Uruguay. Atau masih menjadi pemuda jalanan. 

Itulah betapa pentingnya kata-kata yang baik dan pendorong buat seseorang. 

Dalam kes Luis Suarez, ia muncul di dalam bentuk isterinya. 

Namun, dalam kisah kehidupan orang lain, ia mungkin hadir dalam bentuk guru, kawan baik, mentor, musuh dan lain-lain. 

Kerna itu jangan sesekali memandang enteng kepada kata-kata yang baik kepada orang lain. 

Kerna mungkin perkataan kita itu akan memberi kesan besar di dalam kehidupan mereka. 

Kepada anda yang membaca tulisan ambo ini, percayalah, apapun yang anda sedang buat, insya Allah ianya akan berhasil. 

Sukar macamana pun kesukaran yang anda sedang hadapi, insya Allah akan ada jalan keluarnya. 

Hanyasanya bersabarlah, yakin pada Allah, redha pada ketentuanNya dan teruskan usaha anda/ kita selaku seorang hamba. 

Pada diri setiap manusia itu, senantiasa ada tanda kekuasaan dan keagungan tuhan untuk menjadi pengajaran buat kita. 

Dan Luis Suarez sangat bertuah. Apapun rintangan yang telah beliau hadapi, beliau menghadapinya bersama Sofia Balbi. 

Rakan baik yang juga isterinya. 

Ed Sheeran menyimpulkannya dengan indah

So honey now
Take me into your loving arms
Kiss me under the light of a thousand stars
Place your head on my beating heart
I'm thinking out loud
Maybe we found love right where we are

When my hair's all but gone and my memory fades
And the crowds don't remember my name
When my hands don't play the strings the same way, mm
I know you will still love me the same

Comments

Popular Posts