Di balik kepul asap
Sebaik kaki melangkah masuk ke kedai kopi warisan ini, kelihatan kelibat orang tua berkain pelikat berbaju Melayu sedang memesrai segelas teh sambil menikmati kepulan asap.
Ya. Kepulan asap rokok DUNHILL. Kebetulan sekotak rokok DUNHILL berada di atas mejanya. Di atas kotak rokok itu pula adanya sebatang mancis Cricket berwarna putih.
Melihat ambo, orang tua itu tersenyum.
Mi, mari duduk di sini. Katanya ringkas.
Ambo mengangguk sambil tersenyum.
Pokcik, sekarang ni bukan ke dah tak boleh merokok di kedai kopi? Ambo gelak kecil memulai perbualan dengan soalan panas sambil menghulur tangan bersalaman.
Haha 😂 Aah biarkan saja aku begini. Ini kebahagiaanku. Jika ada surat kerajaan meminta duit daripadaku, rela saja aku memberinya. Ikhlas! Kami perokok bukan jenis manusia kedekut Mi! Lagipun katanya sekarang kerajaan sudah muflis jalan mencari khazanah Jho Low..
Haha 😂, kami sama-sama ketawa...
Pokcik sekarang ini pun sudah tidak setia nampaknya. Mudah sungguh beralih kasih. Bukan ke hari tu John. Kemudiannya Saat. Selepas itu Suria. Yang terakhir rasanya Nusantara Hijau.
Haha 😂 sebenarnya ia bukan mengenai setia Mi. Kerna aku tidak pernah curang pada asap. Cumanya rokok murah itu sebetulnya menyebabkan tekak aku sakit. Lagipun apa salahnya menolong kerajaan kan?
Haha 😂 baik la alasan pokcik. Jawab ambo.
Semek. Nescafe tarik satu. Kure manih.
Sebaik membetulkan tempat duduk, ambo memesan minuman seperti biasa.
Pokcik, ni ambo nok tanya.
Ya, silakan. Tapi yang mudah mudah saja ye Mi.
Pokcik tersenyum sambil memberi isyarat supaya melihat ke arah meja di sebelah kanan kami. 👁
Ada seorang lelaki 👨 dan perempuan 👩 kelihatan berbual penuh intim. Si perempuan bertudung hitam itu duduk mengadap si lelaki yang memakai t shirt bercetak gambar ayam jantan jinak.
Sesekali si perempuan 👩 itu senyum. Senyumannya tampak sengaja di manis-maniskan. Apabila dia tersenyum, matanya menjadi lebih sepet dan kelihatan giginya yang berlapis. Lesung pipitnya pula sangat menyerlah semacam lesung pipit Miranda Kerr.
Ambo menggeleng kepala dan kemudian tersenyum 😀 kepada pokcik tua itu.
Kenapa Mi? Apakah sudah berlaku pengkhianatan batin? Sambil mengeluarkan asap rokok DUNHILL dengan penuh nikmat.
Belum, belum, pokcik kerna ambo sempat istighfar balas ambo jujur sambil ketawa. 😂
Itulah. Aku hanya memberi isyarat supaya kau menjeling. Tapi kau memilih untuk menyeluruhi mereka dengan matamu itu kenapa. Haha 🤣
Iya. Apa soalan mu tadi?
Ooo ambo cuma ingin bertanya pokcik berkenaan perempuan yang sekali sekala bertudung.
Hmm. 🤔 Sambil menghabisi sisa rokoknya dengan sedutan terakhir, pokcik itu melepaskan asap rokok melalui mulutnya dengan perlahan dan merenungnya dengan agak dalam seolah olah asap rokoknya itu menabiri sesuatu, sambil kelihatan memilih perkataan untuk menyambung bicara.
Begini Mi.
Bertudung itu Sejujurnya tentang aurat. Ya. Seluruh perkara tentang tudung adalah mengenai aurat.
Samada lelaki atau perempuan, kita ada manual pemakaian menutup aurat yang berlainan.
Justeru soal terbesar di sini, apakah perbuatan kita mengikut peraturan ini hanyalah dibuat buat kerna sesuatu atau kita betul mematuhinya kerna yakin dan percaya.
Kerna para alim itu pernah berpesan pada kita.
Menutup aurat itu, adalah perhiasan bagi para wali dan ubat bagi para hamba yang sedang mencari.
Sepertimana juga masjid.
Ia bukan hanya menjadi muzium bagi para wali. Atau stesen minyak bagi pengembara pencari cahaya. Bahkan ia sepatutnya menjadi hospital bagi para hamba.
Ooo ubat. Jawab ambo. Apakah itu bukan satu tindakan hipokrasi?
Hmmm. Kita ini yang bersolat tapi enggan khusyuk juga manusia yang hipokrit Mi. Bukan setakat yang bertudung seperti Chipsmore itu.
Kemudian pokcik itu mengeluarkan pula daun rokok cap lada dan tembakau cap budak terbang. Membalut tembakau itu dengan daun rokok dengan teliti kemudian memancisinya dengan mancis cricket putih beliau sebelum menyambung hujahan beliau.
Ya, kita ini kan sebenarnya dalam perjalanan panjang. Ada yang sesat tanpa cahaya dan ada yang disesatkan oleh cahaya.
Maksud pakcik? Tanya ambo meminta penjelasan.
Ada di antara kita ini yang cetek ilmunya. Dengan kurangnya ilmu itu mereka tidak memahami apa sebenarnya tugas kita di dunia ini.
Justeru apa tugas manusia pokcik? Ambo mencelah tanpa sabar.
Tugas manusia ialah memunggah batu batu halangan dan menggunakannya sebagai asas bagi membina sebuah bangunan yang baru.
Bangunan? Tanya ambo kehairanan.
Iya bangunan. Itu sahaja.
Bangunan itu sebenarnya sebuah lambang. Maknanya kita menjadikan segala ujian yang kita tempuhi itu untuk membina keyakinan dan kepercayaan kita kepada tuhan dan hari yang akan datang.
Ooo. Lambang. Bagaimana pula sesat dengan cahaya dan sesat tanpa cahaya itu pokcik?
Cahaya itu anugerah yang hadir bersamanya pelbagai duga. Sinonim lah cahaya itu dengan ilmu atau kefahaman.
Terkadang mereka yang banyak ilmu itu larut mereka dalam ilmu namun lupa pada tuhan. Terhenti mereka pada keasyikan ilmu.
Mereka yang faham bahasa Arab, ketika mereka solat, terlampau menekuni makna ayat al Quran hingga hilang khusyuk dan arah tuju solat mereka.
Begitu juga ahli tajwid yang sangat berhati hati dengan bacaan ketika solat sehingga terjejas makna solat sebenarnya.
Kerna itu sederhana itu penting. Keseimbangan di dalam mengharmonikan ilmu dan rasa. Adil dalam neraca perlakuan zahir dan batin.
Mereka yang sesat tanpa cahaya adalah mereka yang tidak punyai keberanian.
Mereka penakut la pokcik? Ambo mencelah.
Ya. Begitulah. Mereka takut untuk berhadapan dengan cahaya kerna mereka sudah selesa berada di dalam gelap. Mereka bimbang, cahaya itu akan merompak keselesaan dan kebahagiaan mereka.
Kerna itu semuanya ini bergantung kepada niat. Niat yang bermula di daerah hati yang tersembunyi.
Keikhlasan, kejernihan dan keaslian niat inilah nantinya yang menatijahkan peri perbuatan seorang manusia.
Kerna mahu atau tidak mahu kita akui, kebanyakan daripada perbuatan manusia itu adalah secara naluriah.
Iya. Segala galanya naluriah Mi.
Ooo begitu. Cukuplah tu pokcik. Ambo terasa berat dah ni. Haha 🤣 Cuma satu lagi pokcik soalan ambo.
Pokcik tak rasa bersalah ke hisap rokok ni?
Pokcik tersenyum kemudian menjawab ringkas.
Mi, rokok yang aku hisap ini sememangnya berasal dari tembakau yang hitam. Namun, tembakau tidak menyebabkan hati itu hitam. Bahkan asapnya pun putih
Kami kemudian sama-sama tersenyum.
Comments
Post a Comment